Membendung COVID-19 harus menjadi keutamaan Malaysia – Bank Dunia

Oleh Farhana Poniman

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi, menangani pandemik COVID-19 dan melindungi golongan rentan harus menjadi keutamaan negara dalam tempoh yang terdekat ini.

Ahli ekonomi kanan Kumpulan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 6.7 peratus pada tahun 2021 disebabkan pemulihan daripada asas yang rendah pada 2020, peningkatan eksport yang berterusan serta peningkatan momentum secara beransur-ansur dalam perbelanjaan dan pelaburan swasta.

“Namun, apa yang paling penting adalah mencegah pandemik ini dan melindungi golongan rentan dalam tempoh jangka pendek, sementara bagi jangka panjang, dasar fiskal harus menumpukan perhatian kepada bagi melakukan persediaan untuk mengatasi kejutan pada masa depan dan meneruskan pembiayaan awam,” katanya dalam rancangan Mid-Day Update di Bernama TV, hari ini.

Shakira Teh berkata demikian bagi mengulas laporan yang dikeluarkan baru-baru ini, “World Bank Malaysia Economic Monitor: Sowing the Seeds” yang menekankan bahawa pembendungan wabak COVID-19 itu penting bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dimulakan semula dengan selamat dan bagi mencegah kemelesetan ekonomi pada masa depan.

Menurut laporan itu, ia juga termasuk sekatanan perjalanan di kawasan berisiko tinggi, melakukan pengujian pada skala besar dan pengesanan kontak untuk mencegah penyebaran virus tersebut, selain daripada peruntukan dana tambahan di sektor penjagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan kesihatan domestik dan perkhidmatan kecemasan yang meningkat serta memudahkan pengedaran vaksin COVID-19 apabila ia tersedia.

Laporan tersebut menumpukan kepada kepada potensi segmen pertanian dalam meningkatkan status ekonomi Malaysia.

“Secara khusus, agro makanan harus diberi perhatian kerana pada tempoh awal penularan COVID-19 ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, wujud kebimbangan mengenai keselamatan makanan.

“Selain itu, data menunjukkan bahawa sebahagian besar golongan B40 terlibat dalam sektor pertanian, oleh itu mengatasi cabaran dan meningkatkan sektor ini akan memberi kesan limpahan positif kepada Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply