Usahawan belia Malaysia disaran tingkat kerjasama dengan belia China

21/12/2020 08:28 PM

BEIJING, 21 Dis — Golongan usahawan belia Malaysia perlu meningkatkan interaksi dan kerjasama dengan golongan muda di China serta berkongsi bersama peluang pembangunan untuk mendepani cabaran masa depan.

Usahawan belia Malaysia, Zoel Ng berkata generasi muda di China pada zaman moden ini bukan sahaja kaya sumber, malah mempunyai kebijaksanaan yang istimewa daripada segi kebudayaan dan pemikiran.

Kerajaan China turut menyediakan peluang pembangunan secukupnya kepada golongan ini, katanya semasa berkongsi pengalaman mengenai perniagaan pada forum Bicara Belia ‘Inisiatif Jalur dan Laluan’ (BRI) 2020.

“Oleh itu, saya berharap golongan belia di Malaysia supaya dapat meningkatkan interaksi dan kerjasama dengan belia di China dan bersama-sama berkongsi peluang pembangunan”, ujarnya pada forum anjuran Persatuan Belia Kebangsaan China (ACYF) dan Persekutuan Belia Antarabangsa Laluan Sutera di sini, petang Ahad.

Beliau selaku pengasas dan pemilik syarikat Da-Yu Enterprise berkata, kini semakin banyak syarikat China masuk ke pasaran luar negara dan juga sebaliknya (vice versa), untuk merebut peluang pembinaan BRI.

Menurutnya, walaupun syarikatnya masih baharu, namun pasaran China dan negara ASEAN sudah dimasukkan ke dalam rancangan pembangunan masa depan.

Bekas pegawai hal ehwal pembangunan belia Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia itu turut berkongsi pengalamannya ketika menyertai bengkel latihan usaha dan inovasi “Internet+” BRI bagi usahawan dari China dan negara Asia Tenggara pada 2018, dan bengkel pemimpin belia China-ASEAN pada 2019 yang menjadi pencetus untuk membuka syarikat Da-Yu Enterprise tahun ini.

Ketika diwawancara China Media Group (CMG), Zoel berkata, pengalaman menyertai bengkel itu membuka mata dan menyedarkannya mengenai potensi besar pasaran China-ASEAN, manakala BRI pula dilihat membawa revolusi terhadap ekosistem perdagangan dunia kini.

Sementara itu, Naib Ketua Setiausaha ACYF, Dong Xia pula menyatakan, golongan belia pelbagai negara dilihat mempunyai semakin banyak peluang dan wahana seiring dengan pembinaan BRI yang kian dipergiatkan.

Justeru katanya, golongan muda dapat berusaha bersama untuk menyumbang kepada mewujudkan dunia yang aman, makmur, terbuka dan inklusif.

Forum kali ini disertai lebih 200 orang wakil dari China dan 10 buah negara, diadakan secara fizikal dan maya, bertujuan berkongsi pengalaman membuka perniagaan sendiri, mencari peluang pembangunan dan mendorong interaksi serta kerjasama dalam kalangan belia di negara terlibat BRI.

Ia juga menjadi platform perkongsian pengalaman menarik 19 belia antaranya dari China, Malaysia, Thailand, Rusia, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Itali, dan Zimbabwe, mengenai usaha perniagaan yang memperlihatkan kedinamikan inovasi dan pencapaian keusahawanan dalam kalangan generasi muda.

BRI beri nafas baharu ekonomi dunia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker