China tumpu pembangunan tenaga bukan fosil

22/12/2020 06:58 PM

BEIJING, 22 Dis — China berusaha membina sistem bekalan tenaga bersih yang pelbagai, dengan mengutamakan pembangunan tenaga bukan fosil.

Merujuk kepada kertas putih “Era Baharu Pembangunan Tenaga China” yang dikeluarkan Dewan Negara pada Isnin, selain tenaga bukan fosil, China kini gigih ke arah peralihan daripada tenaga tinggi karbon kepada tenaga rendah karbon serta sumber tenaga fosil kepada sumber tenaga boleh baharu.



Sementara itu, China juga menggalakkan penggunaan kuasa solar, mengoptimumkan kuasa angin, pembangunan hidroelektrik serta tenaga nuklear, biojisim, geoterma dan tenaga lautan.

Untuk rekod, kadar penggunaan elektrik yang dijana menerusi kuasa angin mencatat 96 peratus di negara ini pada 2019, manakala kadar penggunaan elektrik yang dijana Panel Solar Fotovolta (PV) pula sebanyak 98 peratus sementara penggunaan hidroelektrik 96 peratus.

Dalam perkembangan lain, China juga mendorong pengeksploitasian dan penggunaan arang batu yang selamat, pintar dan hijau serta membangunkan kuasa termal secara bersih.

Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran gas asli, cari gali, pengeksploitasian dan pemprosesan petroleum, di samping meningkatkan kecekapan penggunaan sumber tenaga tersebut.



Sejak 2016 hingga 2019, China telah menyingkirkan pengeluaran arang batu yang berkecekapan rendah sebanyak 900 juta tan setiap tahun.

Sementara nisbah kapasiti penjanaan kuasa elektrik menerusi arang batu daripada jumlah keseluruhan kapasiti terpasang menyusut kepada 52 peratus pada 2019 berbanding 65.7 peratus pada 2012.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button