Diaspora Cina bantu jalinan ekonomi, diplomasi China dengan dunia

22/12/2020 07:01 PM

Oleh Satria Zhang

BEIJING, 21 Dis — Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Dunia (WCES) anjuran Malaysia memperlihatkan betapa kelebihan masyarakat dan kebudayaan majmuk mampu memberi manfaat besar terhadap hubungan ekonomi global.

Tatkala dunia Barat teragak-agak terhadap keterbukaan China, ASEAN khususnya Malaysia boleh dikatakan antara yang terawal menyokong pembangunan China, selain berkongsi faedah kemajuan China.

Dengan hakikat bahawa diaspora Cina berada di segenap pelusuk dunia, ia banyak mempermudahkan intergrasi diplomasi Tanah Besar China dengan masyarakat sejagat.

Bermula dengan imigran yang mengamalkan budaya serta tradisi Cina, mereka pantas mengadaptasi dan memahami budaya serta politik tempatan selain sedia menerima proses asimilasi setempat.

Latar belakang seumpama menjadikan mereka sebagai jambatan kepada hubungan China dengan negara luar sejak lebih 100 tahun lalu.

Penulis adalah anak jati dari bandar Wuxi, wilayah Jiangsu, China dan Parkson menjadi pusat beli-belah syarikat asing yang pertama dikenali.

Kami membesar dan bermegah berada di Parkson kerana ia kekal menjadi pasar raya paling mewah untuk seluruh penduduk kampung halaman.

Setelah mula bekerja di Beijing, baru penulis mengetahui bahawa Parkson adalah jenama Malaysia yang diasaskan Tan Sri William Cheng Heng Jem, iaitu masyarakat Cina di Malaysia.

Jika menelusuri sejarah, pelaburan Malaysia khususnya oleh Cina Malaysia sejak tahun 1984 banyak tertumpu ke kampung halaman ibu bapa dan nenek moyang masing-masing, terutama di wilayah Guangdong dan Fujian.

Pelaburan ini banyak merangsang pembangunan ekonomi tempatan yang terletak di selatan China itu sehingga mencapai kemuncaknya pada 1996.

Dengan adanya contoh percubaan yang berjaya dari diaspora Cina ini, pelaburan dari kaum lain serta kerajaan Malaysia turut menyusul meneroka pasaran China, sekali gus menjadi antara penjana penting pelaksanaan dasar pintu terbuka dan pembaharuan China pada fasa awal.

Memasuki abad ke-21, seiring pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China, hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara turut menyaksikan perkembangan lebih pesat.

Untuk rekod, China sejak 10 tahun secara berturut-turut kekal menjadi rakan dagang terbesar Malaysia manakala pelaburan dari China ke Malaysia juga menyaksikan peningkatan ketara sejak 2011.

Setelah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dikemukakan, semakin banyak syarikat China berminat melabur di Malaysia.

Hubungan ekonomi sedia ada yang dibina masyarakat Malaysia menjadi elemen penting bagi usahawan China untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan China juga muncul sebagai sumber pelaburan asing terbesar bagi Malaysia selama beberapa tahun.

Menjengah penderitaan masyarakat dunia semasa, ketika penduduk global bergelut menghadapi pandemik COVID-19, peranan diaspora Cina turut menyerlahkan peranan mereka sebagai jambatan diplomasi dan manusiawi.

Ketika wabak berkenaan melanda China, masyarakat Cina di luar negara berusaha mengumpul pelitup muka untuk dikirim ke China.

Apabila wabak melanda ke serata dunia, mereka kemudiannya mencari-cari pelbagai jenis barangan bantuan dari kilang-kilang di China untuk menyumbang kepada hospital, serta berusaha melicinkan pengedaran barangan bantuan untuk kegunaan penduduk tempatan.

Ikatan yang tidak terhalang oleh pandemik juga menjadikan hubungan ekonomi terus berkembang.

Menghadapi perkembangan baharu, masyarakat Cina di Malaysia terus berperanan untuk mengurangkan prasangka dan salah faham kaum lain serta juga kerajaan terhadap pembangunan China.

Ini terbukti apabila pelaburan Malaysia di China sering mengatasi jumlah pelaburan China di Malaysia.

Keadaan ini hanya berubah sejak beberapa tahun ini. China tidak melihat pelaburan dari Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu sebagai ancaman, sebaliknya sebagai peluang keemasan.

Pembangunan China serta hubungan dagang dan pelaburan dengan Malaysia yang akrab serta mencatatkan antara jumlah tertinggi berbanding negara ASEAN lain, patut dilihat sebagai penjana pembangunan ekonomi lestari Malaysia.

Malah, pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan beliau terhadap WCES dan ucapan ini juga memperlihatkan pengiktirafan terhadap masyarakat Cina dalam hubungan ekonomi Malaysia dengan dunia khususnya China.

Secara peribadi, penulis sangat berharap masyarakat Cina juga boleh melebarkan jambatan untuk hubungan China-Malaysia, bukan saja ekonomi, malah dalam bidang pertukaran budaya.

Alangkah baiknya jika lebih ramai peniaga dari kaum lain dapat turut sama meneroka pasaran China serta membantu syarikat China menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan syarikat peribumi di Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker