Dua wanita warga asing edar dadah ditahan

22/12/2020 11:35 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis — Dua wanita warga Iran dan Ukraine ditahan, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar ibu negara, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata hasil soal siasat membawa kepada penemuan dadah jenis ganja seberat 483 gram dan lima paket plastik mengandungi ketamin seberat 65.76 gram dianggarkan bernilai RM7,542.



“Dadah berkenaan ditemukan di dalam sebuah kereta, yang diparkir di sebuah kondominium di Mont Kiara, Sri Hartamas di sini.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selama sebulan, dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket yang terbabit, dan punca sumber bekalan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas wang tunai RM22,411 dan kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 28 Dis ini.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button