Izzah rangkul emas keirin wanita

Oleh – Syeikh Baran


Izzah rangkul emas keirin wanita
IZZAH terus melakar sejarah tersendiri apabila memenangi pingat emas acara keirin wanita pada ACC 2024 di New Delhi, India.

Atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri meneruskan aksi cemerlang pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India apabila merangkul pingat emas acara keirin elit wanita hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi sebentar tadi, dia melakukan kayuhan bertenaga sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang menewaskan Tong Mengqi dari China.

Dalam pada itu, pingat gangsa acara tersebut menjadi milik seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi yang menamatkan aksi final tersebut di tempat ketiga.



Emas yang dimenangi sekali gus menambah koleksi pingat atlet berusia 19 tahun itu pada ACC kali ini apabila dia turut merangkul gangsa pecut individu selepas menewaskan pelumba Jepun, Aki Sakai 2-0 dalam aksi penentuan pingat gangsa Jumaat lalu.

Sementara itu, dalam acara keirin elit lelaki, Muhammad Ridwan Sahrom yang beraksi dalam acara penentuan pingat terpaksa berputih mata apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Pada masa sama, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula hanya menduduki tempat kedua dalam acara penentuan tempat ketujuh hingga 12.

Pingat emas menjadi miliki pelumba Jepun, Kento Yamasaki diikuti Li Zhiwei dari China yang merangkul perak manakala gangsa dimenangi pelumba Hong Kong, Yung Tsun Ho.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker