Kes bunuh CEO Cradle Fund: Kertas siasatan kematian ditukar selepas makluman awal JBPM Selangor


Allahyarham Nazrin Hassan (Gambar fail)

23/12/2020 06:53 PM

SHAH ALAM, 23 Dis — Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan diberitahu bahawa kertas siasatan kes itu ditukar daripada mati mengejut kepada membunuh susulan pemakluman awal kejadian oleh bomba pada 18 Jun 2018.

Anggota Balai Polis Damansara, Sarjan Abdul Rahim Taha, 59, berkata maklum awal Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor melalui surat menyatakan kejadian kebakaran di bilik tidur Nazrin merupakan kes sengaja dibakar.

“Dalam pemakluman awal itu tertulis ‘Kes sengaja dibakar, rumah berkembar dua tingkat. Siasatan awal mendapati kes sengaja dibakar. Sukacita dimaklumkan agar kes disiasat di bawah Seksyen 435, 436 dan 438 Kanun Keseksaan supaya mana-mana orang didakwa di mahkamah,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-33 itu yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Siti Rohaida Che Hamid berkata beliau kemudian diarahkan ketuanya supaya menghantar kertas siasatan dan surat pemakluman awal berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.

“(Siasatan) Kes itu diserahkan kepada ASP Mohd Nizam Daud daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya dan ia kemudian diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada prosiding perbicaraan kes itu semalam, Abdul Rahim dalam pernyataan saksinya memaklumkan siasatan awal polis mengklasifikasikan kematian Nazrin sebagai mati mengejut sebelum bedah siasat dilakukan di Hospital Kuala Lumpur yang menyimpulkan puncanya adalah akibat ‘komplikasi daripada kecederaan letupan’.

Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung 15 Jan depan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker