Kes merusuh di Beaufort tiada kaitan dengan gangsterism – Polis


Datuk Hazani Ghazali

22/12/2020 09:10 PM

KOTA KINABALU, 22 Dis — Kes sekumpulan lelaki merusuh di sebuah restoran di Beaufort pada Sabtu lepas (19 Dis) yang tular di media sosial, tiada kaitan dengan unsur gengsterisme dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut.

Sebaliknya, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata ia adalah kes merusuh sekumpulan lelaki tempatan mabuk yang tidak berpuas hati dengan pemilik restoran, yang tidak senang dengan kehadiran pembeli arak mabuk dikatakan menganggu perniagaannya.



“Di Sabah tiada sebarang kumpulan gangster terancang seperti yang didakwa (orang ramai). Hanya kumpulan pemuda tempatan yang nakal dan agresif jika dalam keadaan mabuk.

“Lima suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 148/302 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 11.40 malam itu, seorang lelaki parah di kepala akibat ditetak menggunakan parang, manakala seorang lagi luka kecil di kepala disyaki dilibas dengan tali pinggang.

Sehubungan itu, Hazani berkata pihak polis kini sedang mengesan dua suspek bagi membantu siasatan kes itu iaitu pemilik restoran yang dikenal pasti sebagai Hobalan N. Vello, 37, atau nama panggilan Jimmy Black dan rakannya Kesavan Perambalan, 34.



“Polis kini sedang sedaya upaya menggerakkan seluruh jentera dari pelbagai Jabatan dalam Polis Kontinjen Sabah dan Sarawak, untuk mengesan dan menahan dua suspek tersebut,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek utama kes itu iaitu Hobalan bukan lagi Orang Di bawah Pengawasan Polis, yang mana beliau dikenakan pengawasan terakhir pada 2008 dan suspek tiada rekod jenayah sejak 2008 hingga kini.

“Pohon semua pihak bertenang dan berilah masa untuk pihak Polis menjalankan siasatan lanjut dalam kes ini. Orang awam juga amat dialu-alukan untuk membantu dalam mengesan suspek yang terlibat dengan menghubungi balai polis terdekat,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button