Rawatan KLSMC hidupkan semula karier permotoran Muhamad Danial Syahmi


Mohamad Danial Syahmi Ahmad Shahril (dua, kanan)

22/12/2020 10:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis — Pelumba negara Muhammad Danial Syahmi Ahmad Shahril tidak sabar untuk meneruskan karier sukan permotorannya tahun depan setelah selesai menjalani rawatan kaki kanan di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC).

Sejak dua tahun lepas, pelumba berusia 18 tahun itu mendapat rawatan di KLSMC bagi memulihkan semula tulang di kaki kanannya yang rosak teruk selepas kemalangan ketika bertanding di Litar Antarabangsa Sepang (SIP) dalam Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) 2018.



Perunding pakar bedah ortopedik KLSMC Dr Saw Khay Yong berkata pasukan perubatan berjaya dalam usaha untuk menumbuhkan 13 sentimeter tulang kaki kanan Danial Syahmi yang rosak dengan menyuntik Sel Stem Darah Periferi (PBSC) ke dalam tulangnya yang hanya memerlukan masa 10 bulan untuk pulih berbanding kebiasaannya selama dua tahun.

“Sel stem yang kami gunakan berjaya membina semula tulang (yang rosak) dua kali lebih cepat berbanding rawatan biasa,” katanya pada sidang media di KLSMC di sini hari ini.

Tanpa sel stem, tulang kaki Danial Syahmi yang rosak masih boleh tumbuh kembali tetapi ia akan memakan masa lebih lama dan dia juga terpaksa menggunakan alat penetap luaran Ilizarov’ (di kaki kanan) untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Dr Saw berkata rawatan sel stem di pusat rawatan tersebut bukan hanya boleh digunakan untuk menumbuhkan semula tulang yang rosak tetapi juga untuk rawatan ortopedik lain seperti membina semula tulang rawan artikular, tendonitis dan masalah ligamen.



Katanya, KLSMC telah berjaya merawat kira-kira 980 pesakit termasuk warga asing dengan menggunakan rawatan PBSC sejak 13 tahun yang lalu.

Muhamad Danial Syahmi terlibat dalam kemalangan serius ketika menyertai saingan penghujung musim IATC di SIC pada 4 Nov 2018.

Beliau ketika itu mengekori rapat pendahulu perlumbaan Haruki Noguchi sebelum terjatuh pada pusingan terakhir perlumbaan dan kaki kanannya dilanggar oleh sebuah jentera lain.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker