Tiga teratas LATC 2021 sasaran Muhamad Danial Syahmi


Muhamad Danial Syahmi Ahmad Shahril

22/12/2020 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis — Pelumba muda negara, Muhamad Danial Syahmi Ahmad Shahril optimis mampu meraih kedudukan tiga pelumba terbaik keseluruhan pada Kejuaraan Permotoran Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) pada musim hadapan.

Pelumba berusia 18 tahun itu yang masih menjalani proses pemulihan kecederaan kaki kanannya di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) sejak Disember 2018, mengakui amat teruja untuk kembali meneruskan karier permotorannya.



Muhamad Danial Syahmi yang merupakan pelumba di bawah Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memaklumkan beliau telah menjalani latihan seperti biasa di SIC sejak 10 Jan lepas.

“Sekarang ini, kecederaan kaki kanan saya sudah bertambah baik, dan saya percaya kepada diri saya untuk cuba beri yang terbaik pada tahun hadapan dalam saingan IATC, bermula dengan pusingan pembukaan di Doha, Qatar pada Mac 2021,” katanya pada sidang media di KLSMC di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan jentera yang akan digunakannya bakal diubah suai, melibatkan penukaran brek kaki yang akan diletakkan pada pendikit bagi memudahkan dirinya mengawal jentera sewaktu berada di litar perlumbaan pada saingan IATC 2021.

Dalam pada itu, Muhamad Danial Syahmi memaklumkan beliau menyerahkan kepada pengurusnya, Zulfahmi Khairuddin berhubung penyertaannya dalam kelas Asia Production 250 pada Kejuaraan Motosikal Asia.



Zulfahmi yang turut hadir pada sidang media berkenaan, turut optimis pelumba muda berkenaan mampu kembali ke prestasi asal pada tahun hadapan setelah selesai menjalani rawatan susulan di KLSMC.

Terdahulu, pada sidang media tersebut, perunding pembedahan ortopedik KLSMC Dr Saw Khay Yong mengumumkan kejayaan pusat perubatan itu mempercepatkan proses rawatan kecederaan kaki kanan Muhammad Danial Syahmi dari dua tahun kepada 10 bulan sahaja, menggunakan rawatan Sel Stem Darah Periferi pelumba berkenaan.

Muhamad Danial Syahmi terlibat dalam kemalangan serius ketika menyertai saingan IATC di Litar SIC pada 4 Nov 2018 selepas terjatuh pada pusingan terakhir perlumbaan sebelum kaki kanannya dilanggar oleh sebuah jentera lain.

Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan helikopter sebelum dipindahkan ke KLSMC bagi mendapatkan rawatan susulan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button