Perak sasar 32 pingat emas temasya Para Sukma Johor 2022


Datuk Saarani Mohamad

23/12/2020 05:45 PM

IPOH, 23 Dis — Perak menyasarkan 32 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang dijadual berlangsung pada 2022.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata sasaran berkenaan adalah realistik selepas mengambil kira program latihan bersepadu dan pemantapan jati diri atlet yang dilaksanakan secara berterusan.



“Pada temasya Para Sukma Perak 2018, kontinjen Perak berjaya meraih 29 pingat emas sahaja dan sasaran kini meningkat berdasarkan program latihan berterusan serta mengambil peluang penangguhan temasya ke-20 ini ke 2022.

“Barisan jurulatih dan pengurus juga sentiasa berusaha meningkatkan sasaran pingat emas tersebut dengan pelbagai program dan latihan khusus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Pada temasya Para Sukma di Perak 2018, kontinjen Perak menduduki tempat ketiga selepas mengumpul 29 emas, 33 perak dan 22 gangsa.

Saarani berkata kerajaan negeri memperuntukkan insentif berjumlah RM76,240 untuk persediaan atlet yang akan mengambil bahagian dalam acara boccia, catur, badminton, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting, renang dan tenpin boling.



Katanya, insentif itu diharap dapat memberi suntikan semangat kepada atlet agar terus fokus untuk mencapai sasaran ditetapkan.

“Insentif itu merangkumi pembelian peralatan dan pakaian latihan untuk atlet dan jurulatih bagi memastikan program latihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan kondusif di saat menghadapi situasi mencabar ketika penularan wabak COVID19,” katanya.

Para Sukma Johor tawar 328 pingat libatkan 10 jenis sukan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker