Vaksin Covid-19: Syarat kerahsiaan kepada siapa?

Kecoh dari seminggu yang lalu dibawa sehingga ke hari ini berhubung isu kos sebenar vaksin yang dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada syarikat pembekal ternama dunia.

Melarat, sehinggakan menteri yang diberi tanggungjawab menyelia proses pesanan hingga tiba ke tanahair , Khairy Jamaluddin dilihat tercungap-cungap cuba memberikan penjelasan terbaik supaya isu berhubung dengan kos yang dilihat begitu jauh bezanya dengan negara lain dapat diredakan suhu panasnya secepat mungkin. Namun, makin disiram, makin marak pula api kesangsian terhadap penggunaan duit rakyat terhadap vaksin tersebut.

Serangan dari de-facto DAP, Lim Kit Siang turut mendapat perhatian namun dipatahkan dengan mudah oleh Dato Seri Najib, terperinci hujahan diberikan dan Kit Siang dilihat termalu kerana serangan yang dilihat gopoh itu dijawab dengan mudah oleh bekas perdana menteri tersebut. Khairy tidak sepatutnya mengambil masa yang lama untuk merungkai persepsi yang sudah mula menjadi begitu negatif kerana melibatkan sejumlah wang rakyat yang banyak.



Tambah memalukan apabila isu harga vaksin tersebut mendapat perhatian dari wakil rakyat parlimen BN, Datuk Tajuddin, beliau mendakwa wujud pihak yang mendapat keuntungan sehingga RM500juta hasil transaksi pembelian vaksin tersebut dan ini dinafikan dengan keras oleh Khairy. Perbandingan harga antara negara kita dan negara eropah menjadikannya alat banding seolah tidak munasabah.

Alasan yang terbaru pula, Khairy menjelaskan bahawa negara kita terikat dengan syarat yang begitu ketat, tidak boleh mendedahkan jumlah kos sebenar yang dipersetujui antara Malaysia dan pengeluar atau pembekal vaksin. Tambah Khairy, sekiranya dilanggari perjanjian kerahsiaan tersebut maka pihak pembekal boleh membatalkan penjualan tersebut.

Alasannya nampak kukuh namun malangnya kukuh untuk sementara kerana apabila Khairy bersedia untuk memberikan keterangan secara terperinci tentang kos tersebut kepada Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan syarat jawatan kuasa tersebut boleh menjaga kerahsiaan. Adakah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi begitu yakin anggota jawatan kuasa tersebut boleh menjaga kerahsiaan? Ketua jawatan kuasa PAC adalah dari parti pembangkang yang terkenal dengan senantiasa mencari salah kerajaan. Sanggupkah Khairy berhadapan dengan tindak balas dari pembekal vaksin?

Peliknya, dengan rakyat tidak boleh diperincikan tetapi dengan ahli politik boleh pula? \



Duit rakyat mengalir untuk rakyat. Jika tidak boleh dilanggar syarat pembelian maka tunjukkanlah terma perjanjian jual beli. Betulkah tidak boleh diceritakan kepada rakyat? Biar rakyat berpuashati.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button