COVID-19: Tiada perintah sekatan dilaksana di seluruh Thailand


Prime Minister Prayut Chan-o-cha Photo: Chaiwat Subprasom/SOPA Images via ZUMA Wire/dpa

24/12/2020 09:31 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 24 Dis — Tidak ada perintah sekatan dilaksanakan di seluruh Thailand bagi membendung penularan gelombang baharu COVID-19 yang dikaitkan dengan pasar makanan laut di barat daya wilayah Samut Sakhon.



Bagaimanapun, kerajaan Thailand akan meningkatkan langkah bagi mengekang penularan terkini itu yang menyaksikan lebih 1,200 jangkitan dilaporkan di 27 wilayah di negara tersebut sejak minggu lepas.

Kebanyakan pesakit yang dijangkiti adalah pekerja asing dari negara jiran Myanmar dan tidak mempunyai sebarang gejala.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) hari ini berkata gelombang baharu pandemik tersebut di negara itu adalah terkawal.

Bagi mengekang penularan COVID-19 di negara itu, beliau berkata semua wilayah dibahagikan kepada empat kategori iaitu kawalan tinggi (kawasan dengan jumlah jangkitan tinggi – Samut Sakhon), kawalan biasa (lebih 10 kes disahkan seperti Bangkok), di bawah pengawasan tinggi (kawasan di mana kurang 10 orang dijangkiti dan keadaan adalah terkawal) serta di bawah pengawasan biasa (tiada kes dilaporkan).



“Langkah-Langkah pengezonan akan membolehkan para pegawai kesihatan menangani dan menguruskan situasi dengan berkesan. Kesihatan rakyat adalah keutamaan kerajaan.

“Pada masa sama, satu kerjasama rapat daripada semua sektor adalah penting bagi membendung penularan jangkitan virus itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata gabenor wilayah akan memutuskan acara dan aktiviti yang boleh diadakan atau mengeluarkan arahan bergantung kepada keadaan dari semasa ke semasa.

Kes indeks di pasar makanan laut itu dipercayai membabitkan seorang penjual udang berusia 67 tahun yang diuji positif virus berbahaya tersebut pada minggu lepas.



Susulan peningkatan dalam kes COVID-19, Samut Sakhon dikenakan perintah sekatan dan perintah berkurung pada waktu malam iaitu dari 10 malam hingga 5 pagi sehingga 3 Jan.

Semua sekolah, stadium sukan, stadium tinju, taman asuhan kanak-kanak dan salon kecantikan adalah antara tempat yang ditutup dan hanya operasi makanan bawa pulang dibenarkan.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas, Thailand telah melaporkan sejumlah 67 kes baharu COVID-19 termasuk 58 jangkitan tempatan (55 dikaitkan dengan pasar makanan laut Samut Sakhon), lapan kes di pusat kuarantin alternatif negara (ASQ) dan satu kes membabitkan kemasukan secara haram serta mengelak kuarantin.

Sehingga kini, Thailand telah mencatatkan sejumlah 5,829 kes COVID-19 dengan 60 kematian.



Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissnuyothin berkata pihak berkuasa akan mempergiat pengesaban kes di kawasan kawalan tinggi dan kawalan biasa.

“Sambutan tahun baharu tidak dibenarkan di kawasan kawalan tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sambutan di tiga kawasan lain akan dibenarkan dengan peraturran ketat termasuk mengehadkan kehadiran.

Beliau berkata pihak penguat kuasa akan meningkatkan rondaan di 55 lokasi sepanjang sempadan bagi mengekang kemasukan secara haram dan mengelak kuarantin.



“Sejumlah 12 pusat pemeriksaan akan diwujudkan,” katanya.

COVID-19: Thailand longgarkan lagi sekatan mulai 1 Jun



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button