Keadaan Khaidir di Sydney dilapor semakin pulih – Wisma Putra

25/12/2020 12:17 AM

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Kementerian Luar memaklumkan keadaan warganegara Malaysia Khaidir Abu Jalil yang sedang menerima rawatan di Hospital St. Vincent’s Public, Darlinghurst Sydney, Australia semakin pulih dan akan dibenarkan keluar dalam masa terdekat.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata Pegawai Konsulat Malaysia di Sydney telah menziarahi Khaidir, 34, dan individu itu memaklumkan laporan media mengenainya tidak tepat memandangkan beliau sentiasa berhubung dengan ahli keluarga di Malaysia.

“Beliau juga mengakui tidak memaklumkan keadaan beliau kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Konsulat Malaysia di Sydney. Bagaimanapun, beliau berterima kasih atas sokongan serta bantuan yang telah diberikan oleh semua pihak.

“Khaidir telah memohon supaya diberikan ruang untuk menjalani proses pemulihan dengan tenang dan tanpa gangguan daripada pihak media buat masa ini,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini media tempatan melaporkan seorang bekas jurutera pembinaan dari Malaysia terlantar kesunyian tanpa sebarang pelawat di Hospital St Vincent, Sydney di Australia akibat penyakit dermatomiositis sejak enam bulan lalu.

Warga Malaysia yang berada luar negara dinasihatkan supaya berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan memerlukan bantuan konsular.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker