Lelaki tertembak pekerja ditahan

25/12/2020 04:18 PM

REMBAU, 25 Dis — Gara-gara tertembak pekerja sendiri sehingga menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan pada paha dan kaki kiri, seorang pemilik sebuah ladang ditahan polis di Kota tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam berkata suspek lelaki berumur 70-an itu ditahan oleh sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau dan pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di ladang milik suspek itu kira-kira 12.30 tengah malam.



“Pihak polis telah menerima laporan pada 8 malam daripada suspek yang tertembak pekerjanya iaitu seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 30-an. Kejadian itu berlaku pukul 6 petang ketika suspek ternampak kelibat seakan seekor babi liar mahu makan buah nangka yang gugur dari pokok lalu melepaskan satu tembakan.

“Sejurus melepaskan tembakan, suspek terdengar suara mangsa menjerit dan kemudian mendapati seorang pekerjanya telah terkena tembakan pada kaki. Kemudian suspek telah membawa mangsa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan suspek, polis turut merampas satu laras senapang jenis ‘Shotgun Bennely Armi System 12 Bore S/B’, satu beg sandang warna hitam, buku lesen memiliki senjata dan 17 butir peluru penabur pelbagai jenama.

Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai lesen pemilikan senjata api dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button