Pemain, jurulatih KDA FC dijangka diumum akhir Januari depan


Muhammad Sanusi Md Nor

25/12/2020 03:15 AM

ALOR SETAR, 24 Dis — Senarai pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC hampir lengkap dan dijangka diumumkan pada akhir Januari depan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata walaupun ini merupakan kali pertama peralihan daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC), semua persiapan hampir lengkap dengan mengikut ketetapan dan syarat bagi membolehkan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.



“Selepas ini, pasukan dikendalikan KDA FC, jadi semuanya masih baharu dan pengalaman itu masih belum ada. Kita masih ‘terpinga-pinga’ dengan perjalanan musim depan tetapi dengan persiapan pemain, kejurulatihan dan kewangan, kita akan buktikan Kedah mampu menjadi pasukan bola sepak terbaik negara.

“Pasukan Kedah akan jadi pasukan paling mantap dalam saingan musim depan. Latihan juga telah bermula dan 99 peratus pemain telah memulakan latihan kecuali pemain import yang sedang bercuti bagi menyambut Krismas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mempengerusikan Kongres KFA kali ke-45 yang turut dihadiri ahli eksekutif dan ahli gabungan KFA di Wisma Darul Aman di sini.

Beliau juga berkata barisan penuh pemain, kejurulatihan dan jersi pasukan KDA FC yang sepatutnya diumumkan pada 15 Jan depan akan dilewatkan sedikit berikutan terdapat beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan.



“Tunggu, kita akan umumkan semuanya, setakat ini ramai yang sudah tahu bahawa Aidil Shahrin Sahak adalah Ketua Jurulatih KDA FC. Bagi pemain import pula, ada pemain dikekalkan dan yang baharu, kita akan umum nanti,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali pula berkata walaupun semua proses FC masih baharu, perjalanannya akan lebih lancar jika ada pihak tertentu berminat dengan kelab itu.

“Kita juga akan beri lebih tumpuan kepada pemain Piala Presiden dan akan cuba membantu mereka untuk mengembangkan bakat di peringkat liga.

“Kalau ada keperluan untuk menyokong pasukan KDA FC, kita akan ambil pemain daripada Piala Presiden dan Piala Belia bagi mengurangkan jumlah pemain tempatan daripada pasukan lain dalam pasukan kita,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker