Pemergian Moses Tay kehilangan besar buat dunia tenis

8996fa2bb04851081bc7fb72d4f9f21e5fe4c240ec9cb.jpg

IPOH, 24 Dis — Pemergian legenda tenis kebangsaan Moses Tay pada usia 92 tahun merupakan satu kehilangan besar buat dunia sukan itu.

Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTP) Fazwil Abdul Wahid berkata pihaknya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang yang dipercayai meninggal dunia akibat sakit tua di Sitiawan, Lumut pada Selasa lepas.

“Mendiang memang berjiwa tenis dan banyak memberi sumbangan kepada pasukan tenis di Perak selain melatih anak-anak kampung untuk bermain sehingga mahir semasa menjadi penaung PLTP,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedia maklum akan keadaan mendiang yang sudah terlantar sakit dan berharap Moses Tay Lawn Tennis Arena di Ipoh akan terus menjadi peringatan buat pemain kepada legenda itu.

Moses Tay telah menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Perak sebanyak 11 kali dan merupakan pemain pertama yang memenangi sukan tenis peringkat kebangsaan pada 1957 seterusnya mewakili Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.

Mendiang yang mula menceburi bidang sukan itu sejak usianya 25 tahun juga merupakan bekas kapten pasukan bagi Piala Davis sejak 1969 hingga 1971.

Moses Tay berkahwin dengan Ho Ung Ging dan mempunyai tiga anak lelaki iaitu Datuk Daniel Tay, Dr Samuel Tay dan Stephen Tay yang juga merupakan pemain tenis.

— BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker