Polis rampas pil ekstasi bernilai lebih RM200,000 dalam kereta

24/12/2020 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Polis menemukan dadah disyaki pil ekstasi bernilai RM235,044 dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan letak kenderaan, sebuah kediaman di Jalan Ipoh pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Adnan Azizon berkata dadah itu ditemukan pada 5.30 petang selepas menjalankan siasatan terhadap suspek lelaki berusia 43 tahun, yang kemudiannya membawa polis kepada penemuan dadah itu.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas 13,058 pil seberat 4.3kg, yang boleh membekalkan kepada 13,000 penagih di negara ini.

“Suspek diuji positif methamphetamine melalui ujian urin dan remannya sebelum ini dilanjutkan enam hari lagi bermula hari ini sehingga 29 Dis untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Leave a Reply