Safee Sali, Hadin Azman perkuat skuad KLUFC dalam saingan Liga-M 2021



Pemain bola sepak terkenal Safee Sali (kiri) bersama Muhammad Hadin Azman (kanan) bergambar selepas menandatangani kontrak sebagai pemain Kuala Lumpur United Fc pada majlis pengenalan dua pemain baru KLUFC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

25/12/2020 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Penyerang berpengalaman Mohd Safee Sali sah menyertai pasukan Kuala Lumpur United FC (KLUFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 sekali gus menyaksikan bekas pemain kebangsaan itu kembali menyarung jersi skuad ‘The City Boys’ selepas 15 tahun.

Mohd Safee, 36, menandatangani kontrak selama setahun dan kehadirannya bersama KLUFC musim depan memberi lebih banyak pilihan di posisi serangan skuad itu yang bakal berdepan cabaran baharu dalam kancah Liga Super selepas menduduki tempat ketiga dalam saingan Liga Premier musim lepas.



Beliau mengakui teruja untuk kembali beraksi bersama KLUFC selepas sekian lama dan berazam membalas kepercayaan itu dengan memberikan segalanya demi membantu pasukan mencapai kejayaan.

“Saya amat berbesar hati dapat kembali semula kepada pasukan di mana saya memulakan karier profesional pada 15 tahun yang lepas. Saya cukup bangga berada dalam stadium ini, banyak sejarah dan kenangan bersama pasukan ini.

“Selagi saya belum mengucapkan dan melafazkan kata persaraan, selagi itu saya ingin menabur bakti dan segala pengalaman untuk pasukan saya bermain,” katanya pada sidang media majlis pengenalan pemain baharu KLUFC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Pada masa sama, beliau yang pernah mewakili Selangor, Pelita Jaya FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) menyifatkan faktor usia tidak akan melenyapkan keazaman beliau dalam membuktikan kemampuannya sekali gus merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.



Ketika ini, jentera serangan KLUFC dibarisi pemain import Francis Kone selain dua penyerang tempatan Abdul Azim Rahim, 23, dan Muhammad Fakhrul Aiman Sidid, 31.

“Apabila bermain dengan pasukan yang saya pernah bermain suatu ketika dulu, memang saya cukup teruja walaupun saya bakal berumur 37 tahun, saya masih merasakan seperti 17 tahun. Saya menyedari situasi perlu bersaing dengan penyerang asing tetapi itu tidak melenyapkan keazaman saya.

“Saya faham faktor umur dan segalanya diambil kira dalam usaha jurulatih melaksanakan perancangannya, jadi saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan serahkan kepada jurulatih untuk tentukan siapa yang diturunkan,” katanya yang juga pernah beraksi bersama PKNS FC dan Petaling Jaya City FC.

Sementara itu, KLUFC turut menandatangani bekas pemain tengah kebangsaan dan Kedah musim lalu Muhammad Hadin Azman untuk tempoh dua tahun sehingga penghujung musim 2022.



Menurut bekas bintang Felda United FC berusia 26 tahun itu, KLUFC memberi tawaran lebih baik berbanding beberapa pasukan lain yang berminat mendapatkan khidmatnya.

“Kuala Lumpur adalah negeri kelahiran saya, saya sudah pergi ke utara (Kedah) dan selatan (JDT), Kuala Lumpur sahaja saya belum pernah (wakili), jadi ini satu kebanggaan akhirnya dapat berada dalam pasukan ini dan kita akan cuba yang terbaik mencabar saingan musim depan.

“Sasaran utama saya tahun depan ialah membantu KLUFC kekal dalam Liga Super dan saya akan berusaha mengembalikan prestasi terbaik untuk bantu pasukan pergi sejauh mungkin (dalam saingan liga),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLUFC Stanley Bernard berkata keputusan membawa masuk kedua-dua pemain bukan sahaja bagi meningkatkan prestasi pasukan malah sebagai usaha menaikkan jenama KLUFC dalam kalangan peminat bola sepak tanah air, khususnya di Kuala Lumpur.



Jangan gentar tandingi pemain import – Azman Adnan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker