YSD suntik dana RM4.6 juta untuk pembangunan akar umbi MCA

24/12/2020 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Persatuan Kriket Malaysia (MCA) menerima suntikan dana sebanyak RM4.6 juta daripada Yayasan Sime Darby (YSD), untuk melaksanakan program pembangunan kriket di peringkat akar umbi.

Presiden MCA V. Mahinda berkata, persatuan itu menghargai keyakinan YSD terhadap program-program yang dilaksanakan oleh persatuan itu menerusi perjanjian penajaan yang ditandatangani bersama, untuk menyokong program pembangunan yang dijalankan persatuan iaitu Program Kriket Adiwira dan Progam Pembangunan Wanita yang menyasarkan pemain Bawah-12 (B-12), Bawah-15 (B-15) dan Bawah-17 (B-17) serta pasukan wanita berprestasi tinggi Bawah-19 tahun (B-19).



“Kami telah bekerja keras sejak beberapa tahun ini bagi mengukuhkan struktur, yang membolehkan kami untuk merealisasikan aspirasi dan sasaran kami. Kami berpandangan penyertaan pemain sejak usia muda adalah kunci utama kepada kelestarian jangka masa panjang bagi meletakkan Malaysia antara negara yang terbaik pada masa akan datang.

“Tidak ada jalan pintas untuk pembangunan kerana ia memerlukan proses jangka pertengahan hingga jangka panjang bagi melihat ia berkembang serta pembangunan prestasi. Ini adalah satu perjalanan yang akan terus berkembang secara positif,” katanya melalui kenyataan di laman sesawang rasmi MCA, www.cricketmalaysia.com.

MCA telah menetapkan hala tuju bagi membolehkan semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka bermain kriket di bawah Program Kriket Adiwira, program peringkat akar umbi yang dijalankan di sekolah-sekolah dan boleh dimainkan secara dalam dewan atau di padang pada bila-bila masa.

Dalam tempoh 12 bulan lepas, MCA telah berjaya melatih lebih 1,100 orang guru untuk menjalankan Program Kriket Adiwira dan menyasarkan sejumlah 1,500 buah sekolah di bawah program itu, sementara Program Pembangunan Wanita pula menyasarkan pasukan B-19 wanita dan pasukan senior dapat beraksi di arena antarabangsa.



Sokongan YSD akan membolehkan pasukan wanita B-19 menjalani latihan berpusat, beraksi dalam pertandingan berkualiti serta memberi pendedahan yang diperlukan untuk layak ke Piala Dunia Kriket.

Melalui laluan ini, ia akan meningkatkan kedudukan pasukan wanita dalam ranking Dunia Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), sekali gus membawa mereka untuk layak ke Piala Dunia Kriket T20 ICC.

Selain itu, sokongan yang diberikan itu memberi peluang kepada pasukan untuk melayakan diri ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom.

Sementara itu, Program Pasukan Wanita B-19 Kebangsaan, MCA akan membuat proses pemilihan untuk kem kebangsaan melalui Kejohanan Sekolah-Sekolah Kebangsaan B-12, B-15 dan B-17.



Skuad B-18 tekad jadi pasukan negara pertama ke Piala Dunia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button