18 individu ceroboh, daki Hutan Simpan Panti tanpa permit

27/12/2020 12:40 PM

JOHOR BAHRU, 27 Dis — Seramai 18 individu dipercayai menceroboh Hutan Simpan Panti dekat Kota Tinggi dengan menganjurkan aktiviti mendaki tanpa permit pada 20 Dis lepas.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), aduan aktiviti sekumpulan individu itu diterima pihaknya menerusi e-mel dan hasil semakan mendapati terdapat gambar aktiviti itu yang telah dimuat naik dalam akaun Facebook atas nama ‘Austin Glenn-Hiking Johor’.



Sehubungan itu, JPNJ telah membuat satu laporan polis dan memohon kepada peserta yang terlibat untuk hadir bagi memberikan keterangan di Pejabat Renjer Hutan Kota Tinggi.

Menurutnya, peserta yang terlibat dimohon untuk tampil memberikan keterangan dan rakaman percakapan dalam tempoh satu minggu sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh JPNJ mengikut undang-undang sedia ada.

“Untuk makluman, kawasan pendakian dan rekreasi di Hutan Simpan Panti adalah di bawah pengurusan atau seliaan JPNJ dan disyaki peserta tersebut telah memasuki Hutan Simpan Panti tanpa permit.

“Sehubungan itu, kemasukan ke kawasan tersebut tanpa Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 313 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.



JPNJ dalam masa sama menasihati orang awam agar mematuhi perundangan dan peraturan yang ditetapkan berkaitan kemasukan ke dalam mana-mana kawasan Hutan Simpanan Kekal.

“JPNJ juga ingin menasihatkan orang awam agar segala aktiviti pendakian dan rekreasi di dalam Hutan Simpanan Kekal perlu mendapatkan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal yang sah sebelum aktiviti tersebut dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis itu.

Beliau berkata laporan itu dibuat di Balai Kota Tinggi pada 25 Dis lepas, lalu dirujuk ke Balai Polis Batu Ampat berikutan lokasi kejadian berlaku di kawasan berkenaan.



“Laporan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Lebih 8,000 individu cuba ceroboh sempadan negara ditahan sejak 1 Mei – Ismail Sabri



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button