2020 masa ‘rehat’ bola sepak, jana semangat musim depan

26/12/2020 10:47 AM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 26 Dis — Tanggal 18 Mac 2020 akan terpahat buat selamanya dalam ingatan peminat bola sepak tempatan sebagai permulaan masa ‘rehat’ sukan nombor satu negara itu.

Pastinya tiada siapa boleh membayangkan permainan paling popular di dunia ini juga akan menjadi mangsa pandemik COVID-19 sehingga memaksa kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hari itu.

Pandemik itu yang telah meragut lebih 1.6 juta nyawa penduduk dunia setakat ini, telah menjejaskan perancangan hampir kesemua kejohanan, baik di peringkat domestik dan pentas luar negara sepanjang tahun, sehingga menyaksikan skuad kebangsaan menutup tirai 2020 tanpa sebarang aksi antarabangsa berbanding 13 perlawanan tahun lepas.

Lebih menyedihkan akibat penularan virus itu, Piala Malaysia, kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara, buat pertama kalinya dibatalkan sejak 1947 yang pada waktu itu terkesan akibat Perang Dunia Kedua.

Selepas beraksi cemerlang pada 2019, skuad kebangsaan melangkah ke 2020 bersama azam melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023, namun peminat Harimau Malaya terpaksa menunggu lebih lama apabila COVID-19 memaksa pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda ke tahun depan.

Malah, misi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menebus kekecewaan setelah muncul naib juara Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018, juga terbantut apabila beberapa kali ditangguh sebelum AFF memutuskan menunda kejohanan dwitahunan itu pada tahun ini ke Disember 2021 susulan COVID-19.

Di peringkat domestik, keutamaan kerajaan membendung wabak penyakit berjangkit itu menerusi pelaksanaan PKP memaksa kesemua aktiviti bola sepak profesional serta amatur ‘direhatkan’ seketika sebelum beberapa kejohanan akhirnya terpaksa dibatalkan.

Saingan Liga Super dan Liga Premier muncul dua kejohanan yang diberi kebenaran untuk kembali bersambung tanpa kehadiran penonton selepas tertangguh kira-kira lima bulan sejak Mac, sementara atas faktor kekangan masa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan Piala FA dan Piala Cabaran.

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sementara Pulau Pinang ditabalkan juara Liga Premier selepas kedua-dua saingan itu kembali bersambung pada penghujung Ogos apabila mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan.

Namun, impak COVID-19 menyaksikan kedua-dua saingan itu dipendekkan kepada satu pusingan merangkumi 11 perlawanan berbanding format asal mempunyai dua pusingan (22 perlawanan), sementara beberapa kejohanan utama dibatalkan bagi memberi laluan kepada berlangsungnya Piala Malaysia.

Bagaimanapun, satu keputusan mengejut apabila Piala Malaysia pada awalnya mendapat kebenaran juga terpaksa dibatalkan selepas pusingan pertama berjaya dijalankan sedangkan kejohanan berprestij itu hanya berbaki tiga pusingan – suku akhir, separuh akhir dan final.

Senario itu membuktikan betapa agenda keselamatan dan kesihatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam memerangi COVID-19 dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpendapat bola sepak membabitkan sentuhan sesama pemain boleh menyebabkan risiko jangkitan wabak itu.

Ketegasan kerajaan turut terserlah apabila tidak memberi pelepasan kepada pasukan JDT menyertai saingan Liga Juara-Juara AFC 2020 Zon Timur di Doha, Qatar dari 18 Nov hingga 13 Dis susulan dasar kerajaan yang masih kekal menutup pintu sempadan negara.

Dalam pada itu, pembangunan di peringkat belia turut menerima kesan akibat COVID-19 ekoran keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan saingan Piala Belia dan Piala Presiden musim ini.

Malah, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut menangguhkan Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) AFC ke Mac 2021, yang mana skuad B-19 negara kendalian Brad Maloney mengintai peluang melakar sejarah menjadi pasukan Malaysia pertama membuat penampilan di pentas Piala Dunia B-20.

Biarpun COVID-19 memberi tamparan hebat kepada arena bola sepak tempatan, peminat tempatan sebenarnya mempunyai sesuatu untuk dibanggakan serta dikenang pada 2020 apabila dua anak watan berjaya melebarkan sayap menyertai kelab Eropah.

Sejarah tercipta pada 24 Okt apabila pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin muncul pemain Malaysia pertama membuat penampilan di liga utama Eropah selepas menandatangani kontrak lima tahun bersama pasukan liga profesional Belgium, KV Kortrijk pada Ogos lepas.

Sementara bintang JDT yang juga pemain skuad kebangsaan Muhammad Safawi Rasid menarik minat kelab profesional liga Portugal Portimonense S.C untuk dipinjamkan sehingga penghujung musim.

Dalam pada itu, FAM terus mengorak langkah menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) membentuk Skuad Projek FAM-MSN yang bakal dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah dan bakal beraksi dalam saingan Liga Premier bermula musim depan.

Langkah itu merupakan usaha mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Justeru, menjelang musim 2021, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berharap industri bola sepak negara kembali bersinar dengan sokongan semua pihak, selain skuad kebangsaan dapat melakar pencapaian membanggakan dengan layak beraksi pada pentas Piala Asia 2023.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker