“BUKAN SEMUA ORANG ADA PELUANG & RUANG… SAYA BUKANLAH PENYANYI HANDAL” – CIK B

Single sulung Cik B berjudul ‘Tolonglah’ pantas meraih perhatian apabila video muzik itu merekodkan lebih tiga juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu.

Bagaimanapun, lagu yang dihasilkan bersama ibu yang juga usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida, berdasarkan pengalaman Cik B ketika kecil itu, dikritik.

Paling diperkatakan, Cik B didakwa menggunakan suara penyanyi rap popular, Yonnyboii. Cik B, 15, atau nama sebenar, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin menepis kritikan apabila menceburi bidang lakonan pada masa sama.

Tidak hanya itu, Cik B terus memahat nama dalam industri hiburan dengan mencuba nasib sebagai pelawak menerusi program Muzikal Lawak Superstar musim kedua (MLS2) yang akan mula disiarkan, tidak lama lagi.



Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

“Pertamanya, saya berbangga kerana berani mencabar diri menghasilkan lagu ini. Pastinya saya gembira apabila lagu ini mendapat sokongan ramai. Jujur kata, saya tidak sangka lagu ‘Tolonglah’ mendapat sambutan kerana saya tahu rakyat Malaysia kurang menggemari lagu rap.

“Alhamdulillah, single ini disambut baik. Mungkin disebabkan lagu yang berdasarkan kisah silam saya turut dirasai orang lain. Ini bermakna bukan saya seorang merasai pengalaman itu, tapi ramai lagi.

“Saya sebenarnya minat menyanyi sejak dari kecil lagi. Jadi, apabila saya ada peluang dan ruang mengetengahkan bakat, mengapa tidak saya mencuba? Bukan semua orang ada peluang dan ruang seperti saya. Apatah lagi, saya disokong Mama, jadi saya teruskan sahaja,” tuturnya.



Mengulas dakwaan lagu ‘Tolonglah’ dinyanyikan Yonnyboii, Cik B berkata, mungkin disebabkan suaranya serak basah, jadi ada yang mengatakan suara sama.

Image_3.jpg

“Tambah lagi, cara nyanyian dan rap yang saya sampaikan lebih kurang sama dengan Yonnyboii. Tapi saya tak kisah. Mungkin dengan persamaan ini, orang berpendapat bahawa suara saya sedap memandangkan suara Yonnyboii sedap.

“Atau mungkin juga orang tidak sangka saya boleh menyanyi sebegitu baik. Jadi tidak mengapalah, orang hendak kata begitu. Saya ambil ia sebagai suatu perkara positif sahaja,” ujarnya.

Ditanya ada lebih 11,000 pelayar yang menekan butang ‘dislike’ pada muzik video Tolonglah, Cik B berkata, dia tidak kisah jika ada yang tidak menyukainya.

Image_4.jpg

“Saya okay sahaja. Tidak kisahlah mereka tidak suka sekalipun. Biarpun mereka tidak suka, namun, mereka berusaha melayari YouTube menonton muzik video saya. Usaha ini sahaja sudah membuatkan saya rasa berterima kasih. Menyanyi memerlukan teknik. Saya bukanlah penyanyi handal.

“Jadi, dengan menyanyikan lagu rap, tidak perlulah saya mendendangkan nota tinggi, rendah dan sebagainya. Saya juga tidak mengambil kelas nyanyian. Tetapi saya tidak menolak untuk belajar. Untuk lagu ‘Tolonglah’, saya tidak menafikan saya ada melakukan ‘auto tune’ tetapi sikit sahaja, tidak banyak,” katanya.

Mengenai pembabitan dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta, Cik B berkata, dia berlakon disebabkan idea ibunya: “Pada awalnya, agak berat juga untuk menjayakan bidang baharu. Namun, lama-kelamaan saya seronok. Saya dapat berjumpa dengan ramai orang baharu dan belajar banyak perkara yang tidak pernah diketahui.

“Jujur kata, sama seperti lakonan, saya sertai MSL2 atas permintaan Mama. Baginya, saya boleh melawak, jadi saya ikutkan sahaja. Tidak salah saya mencuba perkara baharu,” katanya.

Image_5.jpg

BILA LAGU CIK B, ‘TOLONGLAH’ TRENDING NO 1 DI YOUTUBE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker