China bantu warga emas manfaatkan teknologi pintar
27/12/2020 04:21 PM
BEIJING, 27 Dis — Kerajaan China memperkenalkan pelan tindakan bagi membantu warga emas mengatasi kesulitan menggunakan aplikasi teknologi telefon pintar.
Menurut statistik, terdapat 274 juta warga emas yang menggunakan telefon bimbit di China, antaranya 134 juta menggunakan telefon pintar untuk melayari internet.
Ini bermakna kira-kira 140 juta warga emas di negara itu tidak pandai menggunakan teknologi internet mudah alih dengan baik.
Justeru, Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan hasil pembangunan teknologi maklumat dapat dinikmati oleh golongan warga emas.
Naib Menterinya, Liu Liehong berkata, pelbagai pendekatan baharu akan dilaksanakan pada 2021 untuk mempermudah warga emas mengakses maklumat di laman web perkhidmatan awam dan menggunakan aplikasi telefon bimbit.
Pada masa sama tumpuan akan diberikan kepada bidang-bidang yang berkait rapat dengan kehidupan harian termasuk perjalanan, pengangkutan, komunikasi, beli-belah dan perubatan.
Tambah beliau, edisi aplikasi telefon bimbit yang khusus untuk warga emas akan ditawarkan bagi memastikan penggunaannya yang lebih mudah dan selamat.