Kes pelaburan bitcoin: Tujuh termasuk warga China ditahan

27/12/2020 05:18 PM

JOHOR BAHRU, 27 Dis — Enam warga tempatan dan seorang warga China yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelaburan bitcoin tidak wujud diberkas semasa satu serbuan di Taman Abad di sini pada 24 Dis lepas .

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 17 hingga 25 tahun ditahan anggota pasukan petugas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah JBS dengan dibantu BSJK IPD Muar pada 5.30 petang.

Beliau berkata kesemua suspek dipercayai menerima gaji kira-kira RM3,000 sebulan beserta komisen sebanyak lima peratus daripada hasil penipuan pelaburan itu.

Katanya kegiatan pelaburan itu dijalankan dengan menggunakan satu laman sesawang dan mangsa dikehendaki memasukkan wang ke dalam akaun bank yang dipercayai dikawal dari China.

“Suspek juga berperanan mencari mangsa di media sosial dengan memulakan perbualan sebagai kawan sehingga mendapat kepercayaan dan seterusnya mendorong mangsa untuk melabur dalam bitcoin.

“Mangsa juga dikehendaki mendaftar semasa menyertai pelaburan itu bagi mendapatkan kata nama dan laluan sebelum dikehendaki memasukkan wang ke dalam akaun bank berkenaan,” menurut dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Padzli berkata sebuah komputer bimbit jenama Dell dan 25 unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan penipuan pelaburan itu turut dirampas manakala semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata suspek warga tempatan ditahan reman selama tiga hari manakala warga China selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati jika ditawarkan menyertai sebarang pelaburan dengan memastikan bahawa ia wujud dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah penipuan boleh terus menghubungi talian Hotline IPD JBS di 07- 218 2323,” katanya.

Seremban jadi ‘lubuk’ sindiket lombong matawang digital

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker