Misbun Ramdan sasar kembali ke prestasi asal pada Kejohanan Purple League


Misbun Ramdan

26/12/2020 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis — Bekas pemain kebangsaan, Misbun Ramdan Misbun berharap dapat kembali menemui rentak permainannya pada Kejohanan Badminton Purple League Pro-Am yang dijadualkan bermula 29 Dis ini hingga 3 Jan depan di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.

Anak kepada legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek itu mengakui bergelut untuk kembali ke prestasi asal selepas berehat panjang akibat kecederaan tendon Achilles di kaki kanan pada 2014.



“Saya berharap dapat kembali ke permainan terbaik saya memandangkan hanya 16 pemain sahaja yang bakal mengambil bahagian (dalam acara perseorangan lelaki).

“Persaingan memang sengit, namun saya harap boleh beri yang terbaik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan ini, dan harap saya boleh banggakan keluarga saya,” kata pemain berusia 29 tahun itu kepada Bernama.

Lebih 60 pemain profesional negara bakal berentap pada kejohanan berkenaan yang mempertandingkan tiga kategori iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000.

Dalam pada itu, Misbun Ramdan menyerahkan kepada kelabnya iaitu Nusa Mahsuri untuk menentukan perancangan kejohanan antarabangsa yang bakal disertainya pada tahun depan.



Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada kelab itu yang memberikan sokongan moral kepadanya sepanjang lima tahun menjalani rawatan pemulihan kecederaan tersebut.

Misbun Ramdan pernah meraih gelaran juara kebangsaan pada 2012, selain memenangi enam kejuaraan Eropah dari 2013 hingga 2014 sebelum mengambil keputusan berehat panjang susulan kecederaan tersebut.

Kali terakhir pemain berkenaan menyertai kejohanan antarabangsa ialah pada Kejohanan Cabaran Antarabangsa Bangladesh, Disember 2019 yang menyaksikan beliau terkandas di pusingan pertama.

PLPA 2020 beri peluang pemain profesional beraksi secara kompetitif

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker