Tujuh pemain kebangsaan jadi sandaran UniKL – Megat Azrafiq

26/12/2020 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Jurulatih pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang baru dilantik, Megat Azrafiq Termizi mahu memanfaatkan kepulangan tujuh pemain kebangsaan ke dalam pasukan itu Isnin ini untuk membolehkan beliau membuat perancangan strategik bagi menghadapi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang dijadualkan bermula 14 Jan hingga 20 Feb.

Bagi tujuan itu, Megat Azrafiq menggunakan kesempatan cuti umum Hari Krismas semalam untuk memastikan pemain kembali berada di landasan yang betul dalam sesi latihan keduanya di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Menurut beliau, kepulangan tujuh pemain kebangsaan iaitu Adrian Andy Roberts, Shafie Sahrom (penjaga gol), Razie Rahim, Marhan Jalil (pemain pertahanan), Ashran Hamsani, Pavandip Singh (pemain tengah) dan penyerang Tengku Ahmad Tajuddin, akan melengkapkan sentuhan terakhir beliau membuat perancangan bagi menghadapi cabaran sengit yang akan datang.

“Kebanyakan pemain tidak dapat kembali ke gelanggang sejak penularan pandemik COVID-19 kecuali mereka yang bermain dalam kejohanan Piala Tun Abdul Razak pada September. Saya akan menggunakan setiap peluang untuk membentuk kembali pemain.

“Kami masih mempunyai masa dan dengan kembalinya pemain pasukan kebangsaan pada 28 Dis (Isnin) ini, sesi latihan kami akan dibuat secara menyeluruh. Sudah tentu, harapan tinggi diletakkan tetapi saya tidak memikirkan tentang perkara ini, kami mempunyai pemain yang boleh beraksi pada prestasi tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Megat Azrafiq menambah bahawa beliau berbesar hati kerana diberi peluang, kepercayaan dan keyakinan untuk mengambil alih sebagai jurulatih pasukan itu daripada A. Arul Selvaraj.

Arul, yang membimbing pasukan universiti itu memenangi treble pada 2020 dengan memenangi Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia Divisyen Premier dan Piala TNB (juara keseluruhan), adalah jurulatih UniKL selama sembilan musim sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tahun ini.

Pertandingan MHL 2021 akan diadakan dalam format baru bagi kategori lelaki dan wanita, dengan setiap pasukan akan bermain satu perlawanan menentang semua pasukan lain dalam liga. Pasukan yang berada pada kedudukan teratas akan muncul sebagai juara, sementara empat pasukan terbaik dalam liga akan mara ke separuh akhir Piala TNB 2021.

Sementara itu, pemain pertahanan veteran merangkap pemain tengah Baljit Singh Charun meminta rakan sepasukannya mengekalkan ‘Spirit of 2020 Burning’ (Semangat 2020 Terus Membara) selepas penularan global wabak itu menyekat pemain-pemain dari luar negara untuk kembali akibat sekatan perjalanan.

“Bukan rahsia lagi, UniKL akan beraksi tanpa pemain luar negara, begitu juga dengan pasukan-pasukan lain. Ia akan menjadi satu saingan yang menarik.

“Persoalannya dapatkah UniKL memenuhi harapan? Saya rasa kita tidak perlu bimbang mengenainya kerana kita mempunyai ramai pemain berpengalaman. Saya yakin mereka akan memberikan yang terbaik,” kata Baljit, yang memiliki 215 cap antarabangsa.

Baljit, 35, yang pertama kali menyarung jersi UniKL pada 2012, telah menyaksikan pasukan itu menjadi semakin matang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah mengharungi segala kesukaran dan cabaran sehingga mengecapi kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara Liga Divisyen Premier 2019 dan seterusnya kejayaan treble pada 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *