DAKWAAN TERKENA MINYAK PENGASIH, BERI WANG, NIKAH SENYAP – NEELOFA TAMPIL NAFI
Semua sedia maklum mengenai isu yang melanda pelakon dan pengacara Noor Neelofa dengan pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz, 25, yang kini sedang hangat diperkatakan. Pelbagai dakwaan yang timbul antaranya hubungan mereka yang didakwa sedang berantakan, terkena minyak pengasih termasuklah bernikah secara senyap-senyap di Kelantan.
Enggan isu ini menjadi tanda-tanya dan terus diperkatakan, Neelofa, 31, telah tampil menafikan dalam satu kenyataan kepada media hari ini dan menerusi laman Instagram miliknya. Neelofa menafikan khabar angin yang tular di media sosial berkaitan hubungan beliau dengan PU Riz.
Neelofa menafikan yang beliau terkena buatan minyak pengasih sehingga mahu membelanjakan sejumlah wang yang banyak difahamkan berjumlah RM100,000 buat PU Riz dan keluarganya. Beliau juga menafikan satu khabar angin lain yang mengatakan mereka berdua telah berkahwin secara senyap di Kelantan yang diwalikan oleh bapa kandungnya, baru-baru ini..
Neelofa juga memohon semua pihak supaya tidak menerima khabar angin berkenaan bulat-bulat. Namun dalam kenyataan yang sama, Neelofa mengatakan yang keluarga beliau dan keluarga PU Riz sedang dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian sekaligus mengesahkan wujud konflik dalam hubungan mereka kini.
Klik untuk gambar besar
Neelofa turut merakamkan penghargaan kepada keluarga beliau atas sokongan yang berterusan dan berharap perkara ini tidak akan berpanjangan. Neelofa berkata, dia sedar pelbagai versi cerita dan andaian tidak betul tular dalam media sosial membabitkan dirinya, PU Riz dan keluarga, sejak dua hari lalu.
“Saya berharap, semua pihak dapat memahami apa yang ingin disampaikan, seterusnya tidak terus membuat persepsi perkara yang tidak betul. Tuduhan terkena buatan orang dan minyak pengasih tidak benar sama sekali. Sejujurnya, ia adalah tuduhan amat berat. Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan sihat dan kesihatan juga baik seperti yang anda lihat sekarang. Saya berharap semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya.
“Saya juga dituduh memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada PU Riz. Saya menyangkal tuduhan ini, perkara ini juga tidak benar. Andaian kononnya saya melangsungkan perkahwinan dengan dinikahkan oleh bapa kandung di Kelantan adalah tuduhan tidak berasas. Saya mohon kepada semua pihak tidak menerima andaian bulat-bulat. Ambillah masa seketika untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini,” katanya.
Mengulas status terkini hubungan dengan PU Riz, pelakon drama ‘Suri Hati Mr Pilot’ dan ‘Red Velvet’ itu berkata, apa yang mampu dikatakan, setiap hubungan pasti ada yang cerita tersendiri. Neelofa turut mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarganya.
“Tidak manis saya mengeluarkan kenyataan yang membelakangi ahli keluarga saya. Apa yang mampu dikatakan, keluarga saya dan keluarga PU Riz kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian. Bagi saya, lebih baik perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada keluarga saya dan PU Riz atas segala perkara yang berlaku. Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih lagi, kami masih belum ada sebarang ikatan yang sah. Kepada keluarga saya, terima kasih tidak terhingga ingin diucapkan. Saya hargai dengan setulus hati atas sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan dan teguran diberikan.
“Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk memahami dan memberikan saya ruang yang sewajarnya. Harap perkara ini tidak akan berpanjangan. Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat menghargainya,” tuturnya.
Gigih Tutup Guna Emoji, Ini Rupanya Panggilan Manja PU Riz Buat Neelofa