KUFC tampil barisan pemain seimbang

28/12/2020 09:28 AM

KOTA BHARU, 28 Dis — Kelab bola sepak Kelantan United (KUFC) menampilkan barisan pemain seimbang untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden KUFC Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, secara keseluruhan pasukan itu musim depan merupakan kombinasi antara pemain veteran (berpengalaman) dan baharu yang bertenaga.

“Insyaallah kita akan miliki sebuah pasukan yang sempurna sebagaimana yang telah kita tonjolkan hari ini (semalam), untuk memberi saingan sengit kepada pasukan lain yang beraksi pada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Pemain muda dan pemain yang agak veteran seperti Mohd Badhri Mohd Radzi dan Mohd Fitri Omar, dibawa masuk menyertai pasukan untuk memberikan keseimbangan kepada pemain muda yang purata umur bawah 26 tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangani Kontrak Pegawai, Pemain serta Perjanjian Kontrak Penajaan Pasukan KUFC di sini, malam tadi.

Pada saingan Liga-M musim ini, KUFC berada di kedudukan tangga kelapan saingan Liga Premier dan melayakkan diri pada cabaran Piala Malaysia namun tewas pada pusingan pertama.

Che Abdullah berkata untuk pemain import pasukannya kini telah menandatangani dua pemain asing bagi memperkuatkan pasukan itu musim depan iaitu Gassama Alfusainey dari Gambia dan Yuki Tanigawa dari Jepun, yang kedua-dua bermain di posisi tengah.

“Kita masih mempunyai dua kekosongan untuk pemain, namun kita telah mempunyai calon dan mereka ini dari Jepun yang mana akan tiba di Kelantan pada bulan depan.

“Seperti yang saya sebut dari awal kita perlukan pasukan yang berdisiplin, jadi antara faktor yang kita pastikan dalam pasukan ialah disiplin,” katanya.

Beliau yakin disiplin akan jadi faktor bentuk pasukan yang baik dan strategi mengambil ketua jurulatih dari Jepun (Akira Higashiyama), adalah langkah pertama bagi membentuk pasukan disiplin dan bersungguh.

“Pihak pengurusan sentiasa pantau aspek disiplin pemain serta pegawai pasukan bagi mencapai sasaran empat pasukan terbaik di saingan Liga Premier,” katanya.

KUFC bincang gaji pemain selepas PKP tamat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker