Zaidy Desak Dedah Kartel Bekal Daging Haram

ISU KARTEL DAGING: JANGAN PEKAKKAN TELINGA DAN BUTAKAN MATA

Zaidy NS

Berita mengenai penyelewengan kartel daging haram yang didedahkan oleh media arus perdana minggu lalu begitu menghantui rakyat terutamanya umat Islam di negara ini. Lebih menggangu fikiran apabila ada tuduhan yang mendakwa bahawa kegiatan kartel haram itu telah wujud sejak 40 tahun lalu.

Jika benar bagai dikata, tempoh yang panjang itu menunjukkan betapa isu ini sebenarnya telah berakar umbi di dalam negara kita. Ia memerlukan satu pemerhatian yang serius daripada kerajaan serta merta. Jangan bersifat acuh tak acuh.

Mengambil kira kepentingan umat Islam di negara ini, Pemuda UMNO Negeri Sembilan sekali lagi ingin mengulangi tekanan daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajidi Dusuki agar pihak berkuasa perlu mendedahkan syarikat-syarikat yang terlibat dalam jenayah kartel daging itu. Ini penting, supaya rakyat dapat berhati-hati dalam membuat pilihan ketika membeli daging sekali gus dapat mengelak daripada membeli produk-produk yang dikhuatiri status halalnya itu.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu dengan serta merta menarik semula semua produk-produk terlibat yang kini telah terlepas di pasaran. Kerana ini akan melibatkan darah daging. Maka, ini adalah tanggungjawab Kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan setiap makanan benar-benar halal dan bersih.

Tindakan segera ini adalah amat perlu dan amat mendesak memandangkan ini juga melibatkan imej negara sebagai sebuah negara Islam yang sentiasa dihormati di negara ini. Dihormati kerana sistem pentadbiran Islam yang efisien termasuk dengan status persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang cukup diyakini di serata dunia Islam.

Jika perkara ini dipandang remeh oleh Kerajaan dan pihak berkuasa, ia sekali gus akan menggugat status Malaysia dan mengaibkan nama negara di peringkat antarabangsa. Jadi, jangan Malukan negara.

Di masa akan datang, Kerajaan perlu mempertingkatkan penguatkuasaan supaya perkara sama tidak berulang. Jika perlu ditambah anggota pekerja di dalam penguatkuasaan, lakukanlah.

Penguatkuasaan juga perlu lebih tegas dan telus. Jangan dilindungi sesiapa pun yang menjadi dalang kepada sindiket kartel daging ini. Biarpun individu itu seorang kenamaan mahupun rakyat biasa. Mereka ini perlu dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal. Kerana ini merupakan satu pengkhianatan kepada negara.

Jangan kita biarkan apa yang telah kita alami ketika ini diwariskan kepada generasi akan datang. Kita semua bertanggungjawab untuk memelihara generasi akan datang. Jangan kita abaikan tanggungjawab ini. Dan jangan kita jadi generasi yang dayus kepada generasi akan datang!

Akhir sekali, sekali lagi ditekankan kepada Kerajaan, ambillah tindakan segera kepada isu kartel ini. Pandanglah ia sebagai isu yang berat dan memerlukan satu pemerhatian serta tindakan segera. Sama-samalah kita pastikan supaya makanan halal di negara ini terus diyakini dan mendapat pengiktirafan dunia.

Jangan pekakkan telinga dan butakan mata. Sebaliknya, teruslah mendengar dan bukalah mata serta perhatikanlah setiap permasalahan yang berlaku. Baru sesuai dipanggil sebagai Kerajaan yang prihatin.

28 DISEMBER 2020

DATO’ MOHD ZAIDY ABDUL KADIR
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan

https://my-tv.online/2020/12/08/tubuh-rci-siasat-th-isu-kartel-daging-import-haram-dibangkit-di-parlimen-hari-selasa/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker