Dagangan awal pasaran saham tempatan tinggi


Papan indeks Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan awal hari ini, didorong oleh momentum belian sederhana diterajui oleh Maybank dan CIMB.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 1.27 mata kepada 1,645.17 selepas dibuka 0.47 mata lebih tinggi kepada 1,644.37, berbanding 1,643.9 semasa ditutup semalam.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 276 berbanding 172, manakala 354 kaunter tidak berubah, 1,326 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 446.38 juta unit bernilai RM163.60 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka sokongan belian akan berterusan di pasaran ekuti tempatan sejajar dengan pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang cenderung ke arah paras tertinggi serta disokong aktiviti memperelokkan akaun pada akhir tahun.

Sementara itu, ia berkata, peniaga mungkin memberi tumpuan kepada jumlah eksport November yang lebih tinggi daripada dijangka yang berupaya meningkatkan sektor berkaitan eksport.

“Malah, berita mengenai pengedaran vaksin Pharmaniaga dijangka mendorong minat syarikat-syarikat logistik.

“Ketika kami yakin peningkatan harga komoditi mungkin menyokong kaunter berkaitan keluli, kenaikan itu mungkin terhad selepas beberapa pusingan kenaikan sejak beberapa minggu lalu,” menurut Malacca Securities.

Pada Isnin, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata lebihan dagangan Malaysia melonjak 151.6 peratus tahun ke tahun kepada RM16.82 bilion pada bulan lalu, lebihan dagangan tertinggi bagi bulan November yang direkodkan setakat ini.

Menurut MITI, eksport meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun kepada RM84.43 bilion pada bulan itu, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun bagi tiga bulan berturut-turut, manakala import susut sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM67.61 bilion manakala jumlah perdagangan merosot dua peratus kepada RM152.04 bilion.

Dalam kalangan saham berwajararan tinggi, Maybank meningkat lima sen kepada RM8.59, CIMB menambah tiga sen kepada RM4.33, Kuala Lumpur Kepong naik 26 sen kepada RM24.46, Public Bank menokok enam sen kepada RM20.84, TNB naik empat sen kepada RM10.62, manakala Dialog dan Hap Seng Consolidated meningkat dua sen masing-masing kepada RM3.44 dan RM8.58.

IHH Healthcare dan Hong Leong Bank masing-masing tidak berubah kepada RM5.72 dan RM18.60, Petronas Chemicals berkurangan sembilan sen kepada RM7.40, manakala Top Glove dan Hartalega masing-masing susut empat sen kepada RM6.22 dan RM12.42.

Dalam kalangan saham aktif, Metron naik satu sen kepada 22.5 sen, Dynaciate menokok setengah sen kepada 13.5 sen, Fintech dan Parkson masing-masing tidak berubah pada lapan sen dan 20 sen, AT Systematization berkurangan setengah sen kepada 19.5 sen dan Melewar Industrial turun 1.5 sen kepada 57 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 12.45 mata kepada 11,860.46, Indeks FBMT 100 meningkat 9.88 mata kepada 11,610.53, Indeks FBM Emas Shariah naik 1.88 mata kepada 13,257.63, FBM 70 menokok 16.54 mata kepada 15,214.03 dan FBM ACE menambah 47.57 mata kepada 10,727.36.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.31 mata kepada 176.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 51.23 mata kepada 15,479.52 dan Indeks Perladangan menokok 15.79 mata kepada 7,446.8.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker