Indonesia sekat kemasukan semua warga asing dari 1 hingga 14 Jan

29/12/2020 03:03 AM

JAKARTA, 28 Dis — Bermula 1 hingga 14 Jan ini, Indonesia kembali menyekat kemasukan warga negara asing ke republik itu bagi mengekang penularan COVID-19, kata Menteri Luarnya Retno Marsud.

Beliau berkata bagi warga asing yang tiba ke Indonesia dalam tempoh hari ini sehingga Khamis pula, mereka diwajibkan memiliki surat ujian swab atau ‘Polymerase Chain Reaction’ (PCR) dari negara asal.



“Setibanya di lapangan terbang Jakarta, mereka perlu sekali lagi menjalani ujian PCR dan menjalani kuarantin selama lima hari,” katanya menerusi siaran Youtube rasmi Sekretariat Presiden, hari ini.

Katanya warga Indonesia yang berada di luar negara dibenarkan kembali ke negara itu bagi tempoh berkuatkuasanya peraturan baharu itu (1 hingga 14 Januari 2021), dengan mematuhi peraturan kesihatan COVID-19 yang ditetapkan seperti menjalani ujian swab atau PCR, dan kuarantin.

Bagaimanapun Retno berkata sekatan terhadap warga asing memasuki negara itu dikecualikan kepada lawatan rasmi menteri dan pemimpin dari negara luar, namun mereka juga masih perlu mematuhi prosedur kesihatan COVID-19 yang ditetapkan.

Indonesia sebelum ini telah membuka sempadannya kepada warga negara luar, terutamanya bagi merancakkan kembali sektor pelancongan seperti di Pulau Bali.



Namun sejak kebelakangan ini, kes positif baharu COVID-19 di republik itu berterusan meningkat.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, kes positif keseluruhan di Indonesia meningkat kepada 719,219 kes, dengan kematian kumulatif berjumlah 21,452 orang.

Sebanyak 5,854 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam, dengan 215 lagi kes kematian.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button