Liu Ying sasar kembalikan prestasi pada dua kejohanan di Thailand


Chan Peng Soon (kanan) dan Goh Liu Ying

28/12/2020 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Dua kejohanan badminton di Bangkok, Thailand pada Januari depan akan menjadi medan terbaik untuk pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying mendapatkan semula rentak permainannya setelah hampir sembilan bulan tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

Bekas pemain kebangsaan itu bagaimanapun mengakui tumpuannya sedikit terjejas berikutan kes COVID-19 di Thailand kembali meningkat, selain perlu mencari semula keserasian dengan Chan Peng Soon setelah kali terakhir mereka beraksi ialah pada Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham pada Mac lalu.



Dua kejohanan di Bangkok itu ialah Terbuka Thailand Yonex dari 12 hingga 17 Jan serta Terbuka Thailand Toyota dari 19 hingga 24 Jan, dengan masing-masing menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$1 juta (RM4.050 juta).

“Sasaran saya ialah mendapatkan semula ‘tournament feeling’ setelah lama tidak beraksi dalam sebarang kejohanan antarabangsa.

“Paling merisaukan ialah mental saya yang banyak terganggu disebabkan tidak dapat sertai kejohanan akibat COVID-19, selain komitmen dengan penaja yang berharap saya layak ke Sukan Olimpik (Tokyo 2020),” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu ketika ditemui Bernama selepas sesi latihan di sebuah pusat badminton swasta, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau serta Chan Peng Soon akan berlepas ke Bangkok pada 4 Jan ini setelah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara serta Jabatan Imigresen Malaysia.



Pemain berusia 31 tahun itu, pada masa sama, turut berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang membantu memudahkan proses kebenaran untuk dirinya serta Peng Soon terbang ke Bangkok.

Menurut Liu Ying, beliau difahamkan Persatuan Badminton Thailand serta Persekutuan Badminton Dunia akan melaksanakan prosedur operasi standard yang ketat sepanjang berlangsungnya kedua-dua kejohanan berkenaan dalam mengekang penularan pandemik.

“Selain ditempatkan di satu hotel yang sama, kami juga tidak dibenarkan keluar sepanjang menyertai kedua-dua kejohanan tersebut kecuali berada di gelanggang kejohanan,” katanya.

Peng Soon-Liu Ying gandingan profesional pertama sertai latihan skuad kebangsaan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button