MAQIS harap Akta 728 dipinda perluas skop penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berharap Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dapat dipinda di Dewan Rakyat, tahun depan, bagi memperluas serta memperkukuh bidang penguatkuasaan jabatan itu.

Ketua Pengarahnya, Saiful Yazan Alwi, berkata pindaan akta itu sudah memperoleh kelulusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, serta dalam proses penelitian dari aspek perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Ketika ini, bidang kuasa MAQIS hanya di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin.

“Justeru sekiranya akta itu dipinda, skop penguatkuasaan di luar pintu masuk dapat diperluaskan, termasuk aspek penangkapan dan pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Ruang Bicara bertajuk ‘Penyeliaan dan Pemeriksaan Daging Import Dalam dan Luar Negara’ yang disiarkan Bernama TV, malam tadi.

Mengulas tindakan kerajaan sedang mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengimportan daging yang diragui, Saiful Yazan berkata, MAQIS amat mengalu-alukan usaha itu supaya segala dakwaan berkaitan isu berkenaan dapat disiasat segera.

“Apabila ada RCI yang terdiri daripada jawatankuasa bebas, ia dapat memberi pencerahan kepada rakyat berikutan tohmahan yang berlaku sekarang, khasnya berhubung agensi penguatkuasaan kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel disyaki menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkusnya semula menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker