Noorliza wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Alip menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Beliau akan menggantikan Datuk Nordin Siman yang bersara, Khamis ini, selepas menyandang jawatan itu sejak 2018.

Noorliza yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejak ia bertaraf Majlis Perbandaran pada 1996, adalah Ketua Pengarah DBKK yang kedua dilantik ke jawatan berkenaan.

Kesemua lima Datuk Bandar DBKK sebelum ini adalah lelaki, bermula dengan Datuk Abdul Ghani Rashid yang dilantik pada 1 Februari 2000.

Ini diikuti Datuk Iliyas Ibrahim (2005-2011), Datuk Abidin Madingkir (2011-2016), Datuk Yeo Boon Hai yang juga Ketua Pengarah DBKK yang pertama menyandang jawatan itu pada 2016, dan Nordin.

Noorliza menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu penghargaan kerajaan negeri terhadap kepemimpinan wanita di Sabah.

“Pengiktirafan ini sudah pasti akan menjadi pemangkin dan meningkatkan semangat dalam kalangan wanita di Sabah.

“Saya merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri atas pelantikan ini,” katanya selepas menerima watikah pelantikan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, semalam.

Pada majlis sama, Hajiji turut menyerahkan watikah pelantikan Peguam Besar Sabah kepada Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Nor Asiah yang menyandang jawatan Timbalan Peguam Besar Sabah sejak 2018, dilantik menggantikan Peguam Besar Sabah sebelum ini, Brenndon Keith Soh.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi peluang untuk wanita memegang jawatan penting di negeri ini.

“Ia adalah antara usaha kita bagi memastikan penyertaan wanita, terutama pegawai berpengalaman luas dalam jabatan atau organisasi masing-masing, diberi pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *