2020 tahun drama politik tanah air


KUALA LUMPUR, 28 Feb — Sultan dan Raja-Raja Melayu mulai berkumpul di Istana Negara hari ini bagi menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-Raja. Mesyuarat itu dipercayai bagi membincangkan perkembangan politik semasa tanah air. — fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA


29/12/2020 10:27 AM

Oleh Mohd Faizal Hassan and Mohamad Harith Mohamad Nizar

KUALA LUMPUR, 29 Dis — Menurut kalendar Cina, 2020 merupakan Tahun Tikus yang diramal membawa kemakmuran. Namun, dari segi politik negara lain pula yang berlaku apabila percaturan politik membawa kepada perubahan kerajaan peringkat persekutuan dan juga beberapa negeri.

Drama politik bermula sejak awal tahun dengan tekanan dari dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung peralihan kuasa di antara perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ibarat retak menanti belah.

Kegagalan mencapai kata sepakat membawa kepada beberapa pertemuan yang melibatkan pemimpin utama parti-parti politik termasuk cakap-cakap mengenai penjajaran semula politik tanah air. Kemuncaknya, segelintir pemimpin PH dan parti pembangkang mengatur pertemuan yang dikenali “Langkah Sheraton” pada 23 Feb di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan PH.

PH dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah serta rakan sekutu Warisan dan UPKO, dua parti dari Sabah.

Susulan Langkah Sheraton, keesokannya Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar PH yang pantas diekori berita tidak diduga – peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu oleh Dr Mahathir pada hari sama.

Rentetan Langkah Sheraton itu juga menyaksikan PKR memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin yang mengakibatkan sembilan lagi ahli Parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil Bebas.

Seluruh negara yang ketika itu diancam pandemik COVID-19 terkejut dengan peletakan jawatan Dr Mahathir yang tidak memberikan banyak pilihan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melainkan melantik perdana menteri baharu. Seri Paduka memutuskan untuk bersemuka dengan setiap ahli Parlimen dan pemimpin utama parti di Istana Negara sebelum merujuk isu itu kepada Majlis Raja-Raja.

Pada 29 Feb, teka-teki siapa Perdana Menteri Malaysia Kelapan terjawab apabila Al-Sultan Abdullah memperkenankan pelantikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerajui kerajaan baharu persekutuan.

Muhyiddin membentuk kerajaan gabungan merangkumi Bersatu, Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC), PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kemudian dikenali Perikatan Nasional (PN).

Drama politik tanah air belum berakhir apabila keahlian Dr Mahathir serta lima lagi dalam Bersatu “terhenti” dan Ahli Parlimen Langkawi itu yang sebelum ini merupakan perdana menteri tertua di dunia, menubuhkan parti baharu dikenali Pejuang Tanah Air (Pejuang). Namun, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang digelar “anak emas” Dr Mahathir dalam Bersatu memutuskan tidak menyertai Pejuang, sebaliknya menubuhkan parti untuk orang muda, dikenali Muda bagi memperjuangkan agenda belia di negara ini.

Isu keabsahan kerajaan PN menjadi antara topik bualan pemimpin dan pemerhati politik, justeru sepanjang lapan bulan pertama pentadbirannya, Muhyiddin menangkis pelbagai usaha untuk menjatuhkan PN, termasuk dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai sokongan meyakinkan di Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu. Namun impian Ketua Pembangkang itu untuk menjadi perdana menteri seterusnya kekal sebagai impian hingga kini.

Perubahan pentadbiran di peringkat persekutuan turut menyebabkan PH “kehilangan” negeri Johor, Kedah, Melaka dan Perak.

Di Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut Datuk Hasni Mohammad, 61, yang merupakan Pengerusi BN Johor dan Pengerusi UMNO Johor dilantik Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb, diikuti penubuhan kerajaan Gabungan Baharu merangkumi BN, PAS dan Bersatu.

Di Melaka pula, ADUN Lendu dan Setiausaha UMNO Melaka Datuk Sulaiman Md Ali, 54, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-12 pada 9 Mac, menggantikan Adly Zahari daripada Amanah yang dilantik ke jawatan itu pada 11 Mei 2018.

Gelombang perubahan politik merebak ke Perak apabila pada 13 Mac Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencipta sejarah dilantik Menteri Besar Perak untuk kali kedua dalam tempoh 22 bulan selepas mengangkat sumpah kali pertama pada 12 Mei 2018 bagi memimpin kerajaan PH pada ketika itu.

Ahmad Faizal mengangkat sumpah jawatan untuk kali kedua bagi menerajui kerajaan PN.

Kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan negeri yang sering kali diibaratkan sebagai telur di hujung tanduk akhirnya menemui noktah pada awal bulan ini apabila Timbalan Presiden Bersatu itu kehilangan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, memaksanya meletak jawatan pada 4 Dis, dan beliau digantikan oleh ADUN Kota Tampan yang juga Pengerusi UMNO negeri Datuk Saarani Mohamad.

Kedah juga menyaksikan bab baharu dalam landskap politiknya apabila ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor, 46, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar ke-14 pada 17 Mei selepas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu menerima sokongan majoriti ADUN negeri berkenaan.

Terdahulu pada hari sama, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (ketika itu masih bersama PH) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, berkuat kuasa serta-merta selepas kehilangan sokongan majoriti di DUN. Beliau kemudian menyertai Pejuang.

Masa yang berlalu tidak menghentikan percaturan politik, dan umpama api dalam sekam, Sabah menjadi sasaran seterusnya apabila bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti, mengatasi Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengetuai kerajaan negeri di Borneo itu.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin memutuskan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri yang kemudian dimenangi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkumi PN, BN serta Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR.

Ketua Bersatu Sabah yang juga ADUN Sulaman Datuk Hajiji Noor dilantik sebagai ketua menteri yang baharu pada 29 Sept dan menghadapi tugas sukar dalam menamakan ahli kabinetnya bagi meraih kepercayaan rakyat memandangkan pilihan raya negeri pada 26 Sept itu antara pencetus gelombang ketiga COVID-19 di negara ini.

Sementara itu Sarawak, sebuah lagi negeri di Borneo, kini kesuntukan masa kerana perlu mengadakan pilihan rayanya menjelang Jun tahun depan atau DUN akan terbubar sendiri apabila penggal tamat, sekali gus menimbulkan spekulasi tentang kemungkinan pilihan raya negeri itu akan berlangsung serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin ketika mengulas isu itu selepas berjaya mengelakkan satu lagi usaha menjatuhkan kerajaannya apabila Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 pada 26 Nov lalu, berkata Malaysia hanya akan mengadakan PRU15 setelah ancaman pandemik COVID-19 di negara ini berakhir.

Bagaimanapun, di sebalik kemelut politik sepanjang 2020 ini, Malaysia kekal aman dan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya hidup secara muhibah dengan saling menghormati perbezaan itu, selain berharap 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk negara ini, khususnya dari segi politik.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker