Geng Mat Beruk dan Geng Azhar tumpas, kes curi lembu

BALING: Polis menumpaskan kumpulan aktif curi lembu dikenali ‘Geng Mat Beruk’ dan ‘Geng Azhar’ berikutan penahanan ahlinya dalam Op Khas membanteras jenayah itu di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata kumpulan itu giat melakukan jenayah itu sejak tahun 2018 dengan mencuri lembu dan menjual daging di pasaran dengan harga lebih murah.

Beliau berkata, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah Polis Baling bersama pegawai dan anggota dari Kontinjen Pulau Pinang berjaya membuat tangkapan pertama dua lelaki dan dua perempuan di perkarangan letak kereta jam 10 pagi berdekatan stesen bas Kulim pada Sabtu lalu.

Katanya, hasil siasatan ke atas suspek yang berusia antara 22 sehingga 36 tahun itu, polis menahan seorang lagi lelaki yang berada di dalam kereta Proton Wira di sebuah rumah Taman Mutiara, Karangan Kulim.

“Ekoran tangkapan suspek, polis menahan dua lagi lelaki di Kampung Tepi Sungai, Tasek Gelugur Pulau Pinang.

“Semua suspek ditahan pada hari yang sama dan turut merampas pelbagai peralatan untuk mencuri lembu termasuk batang paip dan cecair dipercayai ubat pelali untuk menyumpit lembu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Baling, hari ini.

Shamsudin berkata, hasil saringan ujian air kencing enam suspek, semua positif dadah jenis syabu selain mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang lagi dipercayai pembeli dan menjual daging lembu yang curi.

Katanya, kumpulan berkenaan juga menggunakan kenderaan yang dicuri yang diubah suai untuk melakukan jenayah itu.

“Dengan tumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 20 kes curi lembu di daerah Baling, Kulim dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan kecurian kenderaan di Kemunting Perak.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan boleh dipenjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, bagi Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan dikenakan denda.

“Polis minta penduduk yang kehilangan lembu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Semalam pula, polis menahan lima individu Geng Azhar yang turut terbabit dalam jenayah sama dalam satu serbuan di tiga lokasi sekitar jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, tangkapan tiga lelaki di Kampung Jawa Batu 2, Kuala Ketil membawa kepada penahanan dua lagi suspek di Kampung Tok Pawang Bedong dan Taman Ilmiah Kulim.

“Semua suspek berusia 22 sehingga 35 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan rekod dadah malah empat suspek turut positif dadah jenis syabu,” katanya.

Shamsudin berkata, polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi lembu di daerah Baling dan Kuala Muda, Sungai Petani dengan penahanan individu terbabit.

“Suspek direman sehingga 3 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker