Makan atau tidak, terpulang kepada umat Islam – Dr Zulkifli

KUALA NERUS: Umat Islam mempunyai hak untuk membuat pilihan sama ada terus memakan daging import atau sebaliknya, bergantung keyakinan masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mufti sudah memberikan kenyataan dan pandangan masing-masing serta ia dibahaskan di Dewan Negara.

Beliau berkata, sebahagian daging disahkan halal semalam oleh KPDNHEP dan pengesahan itu sudah boleh dirujuk untuk dijadikan perkiraan dalam membuat pertimbangan sewajarnya.

“Jadi pandangan yang dikemukakan samahah-samahah, lebih kepada untuk ikhtiar atau pun mengambil jalan berhati-hati.

“Tetapi apabila disahkan oleh sebahagian daripada pihak berwajib yang menyertai dan membuat kajian dan telah masuk dalam Parlimen semalam melalui Dewan Negara dan ada usul khas yang dijawab Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, ia memberi jawapan yang melegakan kita semua.

“Bagaimanapun, sekiranya masih was-was, mereka perlu menghindarkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan.

“Saya berdoa pada Allah SWT supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya,” katanya selepas merasmikan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Yakin KPDNHEP dapat tangani isu kartel daging import – Zulkifli

Zulkifli mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan orang ramai menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Menurut Zulkifli, JAKIM sudah mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import seterusnya menambah baik kelemahan yang ada dan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

Katanya, Bahagian Pengurusan Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, jabatan berkenaan juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan selain pengimport dan pengedar daging pada awal bulan depan.

Terdahulu, Zulkifli memberikan sumbangan Inspirasiku kepada 593 pelajar UniSZA membabitkan sumbangan bernilai RM296,500.

Program hasil kerjasama antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia YaPEIM) dan UniSZA menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai ke akaun universiti bagi membayar yuran pengajian dan lain-lain.

Sehingga kini, bagi bantuan persekolahan YaPEIM menyantuni 52,745 keluarga (99,469 orang anak) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6.85 juta, manakala bagi bantuan di peringkat institut pengajian tinggi, seramai 12,743 pelajar menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM6.37 juta.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker