PPBM: KAWAN ATAU LAWAN?
Oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi
Akan ada yang komen, kenapa perbezaan pendapat dibahas di luar?Pada mereka musuh akan untung jika berlaku perbahasan terbuka.
UMNO adalah parti besar. Ia kembali bangkit. UMNO wajar lebih terbuka. Jangan “sapu sampah bawah karpet. Jangan apologetik, takut apa orang lain kata.
Di zaman media sosial tidak ada yang boleh disembunyikan. Maklumat, percakapan dan kenyataan mudah bocor.
Jika bukan orang lain bocorkan, orang sendiri akan bocorkan. Bukan rahsiapun 145 Ketua Bahagian UMNO menolak bersama PPBM untuk PRU ke-15.
Dua hari lepas Annuar Musa membuat posting terbuka. Dia tuduh seorang pemimpin yang ada platform rasmi buat perkara yang berlawanan dengan dasar parti.
Annuar terlupa dia Setiausaha Agung Barisan Nasional. Diapun suka mendahului Presiden.
Annuar mendakwa parti sedang dibawa ke arah perpecahan bukan konsolidasi. Annuar tutup mata sebelah. Sebenarnya UMNO yang sedang ‘ditikam’ dan dilemahkan dari belakang.
Sekarang ini sibuk PPBM membeli dan memujuk Ketua-ketua cawangan UMNO untuk menubuhkan cawangan baru PPBM. Kenapa tidak dipujuk ketua PAS, PKR dan PAN?
Masa orang PPBM jadi Menteri Besar, mereka gunakan jawatan Ketua Kampung sebagai tawar-menawar tubuh cawangan baru. Sekarang guna Perdana Menteri desak Menteri Besar UMNO beri kuota 60-40 untuk lantik Ketua Kampung dan Ahli Majlis.
Pemimpin akar umbi UMNO sudah lama sedar yang tikam UMNO dari belakang di PRU-14 adalah PPBM. Yang rancang bubarkan UMNO setelah Pakatan Harapan berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP.
Walaupun Pakatan Harapan sudah tumbang, tetapi ‘DNA’ mereka masih ada dalam PPBM 2.0. PPBM melihat UMNO sebagai ‘rival‘ bukan kawan.
Sekarang mereka tidak boleh haramkan UMNO melalui perundangan. Tetapi melayan UMNO dengan cara melemahkan UMNO dan akhirnya kuburkan UMNO.
Annuar dakwa membatalkan keputusan “No Anwar No DAP” akan menjadikan kubu UMNO menjadi kubur. Itu hanya sentimen.
Hakikatnya lihatlah apa yang berlaku di Larut, di Mersing, di Tanah Merah dan di tempat tempat Ahli Parlimen lompat. Mana mungkin Annuar Musa tidak nampak itu semua.
Di manakah Menteri-menteri lompat PPBM yang asalnya UMNO akan bertanding dalam PRU ke-15 nanti?Sudah tentu di kubu UMNO.
PPBM lebih terdesak dan perlu melemahkan UMNO jika PPBM mahu tambah kerusi Parlimen dan DUN di PRU ke-15 akan datang.
Sebab itu tidak timbul PKR dan DAP mahu bubarkan UMNO. Kecenderungannya, UMNO-PPBM akan bertembung. PPBM akan guna muslihat seperti yang berlaku di PRN Sabah.
Annuar Musa dakwa UMNO boleh ‘tergolek’ kali kedua. Itulah rasional kenapa 145 Ketua Bahagian menolak kerjasama dengan PPBM kerana tindak tanduk PPBM mahu ‘menggolekkan’ UMNO kali kedua.
Percayalah, kalau PPBM masih menghalalkan kaedah lompat parti untuk tambah Ahli Parlimen PPBM, sudah tentu Ahli Parlimen UMNO menjadi target untuk dipujuk bukan Ahli Parlimen PAS.
Itu yang patut dikhuatiri oleh Annuar. Kalau Ketereh adalah kubu UMNO, maka parti mana yang akan menjadikannya kubur? DAP, PKR atau PPBM?
Kalau Annuar kata pemimpin akar umbi resah, mereka sebenarnya lebih mengetahui apa yang berlaku di bawah. Mereka terdedah dengan pujukan dan tawaran.
Semoga UMNO bukan umpama “terlepas dari mulut buaya tetapi masuk ke mulut harimau”.
Tiada masa cerita politik, kebajikan rakyat lebih penting – Annuar Musa