Iran akan bayar pampasan US$150,000 kepada mangsa nahas udara pesawat Ukraine


Photo: Mahmoud Hosseini/dpa

31/12/2020 12:20 PM

TEHRAN, 31 Dis — Iran akan membayar pampasan bernilai US$150,000 kepada 176 keluarga mangsa nahas udara pesawat Ukraine yang terhempas berhampiran lapangan terbang Tehran Januari lalu, lapor Agensi Anadolu.

Kabinet pada Rabu memberikan kelulusan mereka untuk pembayaran pampasan itu “secepat mungkin” menjelang ulang tahun pertama nahas berkenaan.



Pesawat Ukrainian International Airlines PS752 terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Tehran pada 8 Januari.

Kejadian berlaku beberapa hari selepas pembunuhan komander tentera tertinggi Iran, Qassem Soleimani dalam serangan tentera Amerika Syarikat di Baghdad, ketika sistem pertahanan udara Iran dalam keadaan berjaga-jaga.

Awalnya, pihak berkuasa Iran menafikan peluru berpandunya menembak jatuh pesawat penumpang itu. Iran kemudian mengaku tenteranya tersilap dan tertembak pesawat malang berkenaan.

Sebilangan besar mangsa terdiri warga Kanada berketurunan Iran.



Wakil presiden Iran untuk urusan undang-undang, Laaya Joneidi, berkata bayaran pampasan akan dibuat berdasarkan dokumen rasmi dan sebelum ulang tahun pertama kejadian.

Menteri Jalan Raya dan Pembangunan Bandar Iran Mohammad Eslami ditugaskan untuk menyerahkan pampasan itu kepada keluarga mangsa.

Perkara itu diumumkan dua hari selepas Iran menyerahkan laporan terakhirnya mengenai nahas pesawat kepada Ukraine.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, pada Isnin pula berkata Pertubuhan Penerbangan Awam negara itu bertanggungjawab atas isu teknikal.

Katanya, terjemahan laporan itu akan diserahkan secara rasmi dalam beberapa hari lagi dan tindakan undang-undang untuk kes itu akan dilakukan berdasarkan konvensyen dan perjanjian antarabangsa.

Walaupun Iran mengakui kesilapan manusia dan penyelarasan mekanisme pertahanan udaranya yang tidak tepat, masyarakat antarabangsa menuntut tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab secara langsung.

Pada Oktober, Timbalan Menteri Luar Mohsen Baharvand menyatakan Iran sedang menyelesaikan perkara itu dengan pihak berkuasa Ukraine dan mereka yang didapati bersalah akan dihukum.

Tiga lelaki Islam AS dibenar tuntut pampasan, dikeluar daripada senarai larangan terbang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker