PDRM tumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah di Selangor

 

Oleh Pena Merah

PDRM tumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah di Selangor
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barangan rampasan ketika sidang media narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi (dua, kiri) dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor (kiri).

Dua pasangan suami isteri warga Thailand antara 11 suspek yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah di Selangor, minggu lalu.

Dalam kes pertama pada 10 Mac lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam merampas sejumlah 8,900 biji dadah erimin 5 berjumlah RM145,000, dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.



Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis melakukan rampasan itu selepas menahan seorang lelaki di Sabak Bernam, dalam satu pemeriksaan.

“Hasil siasatan terhadap suspek yang bekerja sebagai buruh itu mendapati dia mempunyai lima kesalahan lampau dengan dua daripadanya berstatus dikehendaki.

“Saringan awal air kencing suspek juga mendapati dia positif methamphetamin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Kes kedua, Hussein berkata, Jabatan Siasatan Narkotik Selangor menemui 40 ketulan mampat ganja seberat 40.1 kilogram (kg) selepas menahan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dua lelaki, di tepi jalan kawasan Subang Jaya, kelmarin.



“Soal siasat kemudian membawa ke sebuah rumah di Ampang Jaya dan polis merampas 50 ketulan mampat ganja seberat 50.3 kg.

“Susulan itu, polis menahan dua lelaki dan dua wanita warga Thailand yang dipercayai dalang pengedaran dadah di sebuah rumah di Balakong, Kajang serta merampas cecair ketum sebanyak 1,500 milimeter.

“Suspek pertama dan kedua bekerja sebagai buruh manakala yang lain tidak bekerja,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya warga asing berkenaan adalah dalang dalam sindiket itu yang akan mendapatkan dadah melalui ‘transporter’ dan akan mencari pembeli untuk menjual dadah.



“Mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong tetapi tidak akan membawa dadah. Dadah itu dipercayai dibawa oleh ‘transporter’ iaitu dua lelaki awal yang ditahan oleh polis.

“Selepas mendapatkan dadah, suami isteri itu akan mencari pembeli untuk menjual dadah itu,” katanya yang memberitahu nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM281,000.

Hussein berkata, dalam kes ketiga Bahagian Jabatan Siasatan Narkotik Petaling Jaya menemui seketul mampat ganja seberat satu kg, 100 biji pil erimin 5 dan enam botol cecair disyaki kodein, selepas menahan sebuah kereta di Subang Jaya, kelmarin.

“Hasil siasat, polis ke sebuah rumah di Seri Kembangan dan menahan dua lelaki tempatan lalu merampas 31 paket ketulan dan leraian dipercayai ganja seberat 8.2 kg, 73 biji erimin 5 dan sebotol kodein.



“Nilai rampasan bagi kes ini berjumlah RM31,600,” katanya. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button