Iran sambung semula bekal gas kepada Iraq

TEHRAN, 30 Dis — Iran bersetuju menyambung semula bekalan gas ke Iraq bermula Rabu selepas kedua-dua negara mencapai kesepakatan mengenai penyelesaian hutang tertunggak, lapor Agensi Anadolu.

Menteri Tenaga Iran Reza Ardakanian ketika lawatan dua hari ke Baghdad mengadakan perbincangan dengan pegawai tinggi Iraq mengenai masalah tunggakan US$6 bilion.

Katanya, pegawai Iraq sepakat untuk membayar balik sebahagian hutang kepada syarikat gas dan tenaga Iran, tanpa menyatakan jumlahnya.

Sekatan Amerika Syarikat (AS) menghalang Iran untuk mengakses asetnya di beberapa negara, termasuk Iraq, sehingga menyukarkan negara itu melunaskan hutang.

Awal minggu ini, syarikat gas Iran mengumumkan telah mengurangkan bekalan gas ke Iraq berikutan isu hutang tertunggak itu, menjadikan Baghdad berisiko mengalami kekurangan tenaga yang serius.

Iran mengurangkan eksport gas ke Iraq dari 50 juta meter padu menjadi lima juta dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan merancang mengurangkan kepada tiga juta minggu ini.

Syarikat Gas Negara Iran (NIGC) berkata Kementerian Tenaga Elektrik Iraq berhutang kira-kira US$ 6 bilion, manakala dianggarkan US$3 bilion masih disekat di sebuah bank perdagangan Iraq kerana sekatan AS.

Syarikat itu juga mengatakan Iraq berhutang lebih US$1 bilion kerana “melanggar kontrak” di bawah perjanjian antara kedua-dua pihak, yang diperbaharui pada Jun untuk tempoh dua tahun lagi.

Iran juga telah membantu Iraq dengan membangun dan memperbaiki loji jana kuasa dan infrastruktur elektrik di bawah memorandum persefahaman 2018.

Washington sebelum ini memberi pengecualian sekatan 90 atau 120 hari kepada Iraq untuk membeli gas Iran, tetapi pada November ia dikurangkan kepada 45 hari, sekali gus merumitkan lagi keadaan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker