Penipuan dalam talian: Pengalaman yang menghantui



31/12/2020 12:57 PM

Oleh M. Govind Nair

KUALA LUMPUR, 31 Dis — “Pesanan SMS yang saya terima pada 9.50 pagi, 28 Dis, mengejutkan saya,” kata Albert (bukan nama sebenar) apabila menceritakan pengalaman yang beliau anggap sebagai suatu yang menghantuinya.

Pesanan itu merupakan makluman bahawa kad kredit yang berakhir dengan nombor XXXX telah digunakan untuk mengeluarkan wang tunai RM3,000 pada 28 Dis dan sekiranya beliau tidak melakukan transaksi itu, beliau perlu menghubungi khidmat pelanggan di talian 1800-81-9388.



“Saya mati akal,” kata pesara berusia 65 tahun itu.

Namun, beliau kemudian menyedari bahawa empat digit terakhir berbeza sedikit daripada angka pada kadnya. Walaupun begitu, beliau mula melakukan semua yang tidak sepatutnya dilakukan dalam situasi seperti itu.

Beliau menghubungi 1800-81-9388. Itu adalah kesalahan pertama, katanya, dan menambah: “Saya sepatutnya menelefon bank yang telah mengeluarkan kad kredit saya.”

Sudah tentu ada yang menjawab. Pada waktu itu, masih dalam keadaan terkejut, beliau tidak menyedari bahawa panggilan tersebut tidak melalui sistem penjawab telefon automatik biasa yang digunakan bank dan beliau tidak diperlukan membuat pengesahan biasa. Ini kesalahan kedua.



Orang yang menjawab panggilan itu, yang disebutnya sebagai Penipu No. 1, berkata seseorang telah menggunakan namanya dan maklumat lain untuk memohon kad kredit di Nilai, Negeri Sembilan.

Penipu itu memberikan setiap butiran: jenis kad kredit, nombor kad, tarikh permohonan (7 Dis 2020), tarikh kelulusan (14 Dis 2020), tarikh tamat kad. Malah kod CVV tiga digit (nilai pengesahan kad) di bahagian belakang kad dan alamat kediaman tempat beliau pernah tinggal, lebih 30 tahun lalu.

Pada saat itu, kerana terkejut, tidak terlintas di fikiran bahawa beliau sedang ditipu.

Penipu itu “menasihati” beliau agar membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia dan memberinya nombor telefon untuk dihubungi – 03-9212 7361 – memaklumkan bahawa beliau perlu memberikan BNM semua butiran yang dia (penipu) telah berikan kepadanya mengenai kad kredit itu. Albert tidak mengesahkan nombor telefon berkenaan. Itu adalah kesalahan ketiganya.



Beliau berkata tindakannya itu seolah-olah dipukau dan beliau menghubungi nombor itu. Ini adalah kesalahan keempatnya.

Seseorang, yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Abdullah bin Nordin apabila ditanya, menyoal tujuannya dan meminta Albert membacakan kepadanya apa sebenarnya yang terdapat dalam pesanan SMS yang diterimanya.

Setelah membaca pesanan SMS itu, “Mohd Abdullah” berkata seseorang di bank tempat kad kredit yang dikatakan dikeluarkan itu mungkin berkonspirasi dengan orang yang telah memohon kad tersebut.

“Mohd Abdullah”, yang Albert rujuk sebagai Penipu No. 2, memberitahunya terdapat kemungkinan akaun banknya (dengan bank lain) juga telah digodam dan meminta nama pengguna dan kata laluan untuk akaunnya.



Albert kemudian menyedari bahawa dalam keadaan seperti dipukau, beliau mendedahkan maklumat itu. Ini adalah kesalahan kelimanya.

Pesara itu berkata beliau selalu mengingatkan dirinya supaya tidak mendedahkan kedua-dua maklumat itu kepada sesiapa pun tetapi beliau masih tidak dapat memahami apa yang membuatkan beliau melakukannya pada hari itu.

Beliau berkata Penipu No. 2 memberitahunya bahawa akaunnya digodam pada 6.40 pagi dan had pemindahan dana dinaikkan kepada RM30,000 dan terdapat satu percubaan yang tidak berjaya dilakukan untuk memindahkan RM10,000.

Albert berkata memanglah tidak akan boleh memindahkan RM10,000 kerana akaunnya ketika itu hanya mempunyai lebih RM4,000 sahaja.

“Dia memberitahu saya bahawa dia dapat menyekat akaun saya daripada sebarang cubaan penggodaman. Semasa kami bercakap, saya dapat mendengar ketukan papan kekunci komputer.

“Saya menjadi curiga dan mula merasakan ia satu penipuan apabila percakapan bahasa Melayu Mohd Abdullah bin Nordin ini berubah di tengah perbualan kepada pelat Cina, yang menunjukkan kepada saya bahawa terdapat lebih daripada seorang di talian,” kata Albert .

Tidak lama kemudian, katanya, penipu itu memintanya memeriksa sama ada telah menerima sebarang pesanan SMS.

“Memang betul, ada pesanan daripada bank saya yang menyatakan TAC (kod kebenaran transaksi) untuk pembayaran RM4,000 kepada syarikat tertentu.

“Penipu ini meminta saya supaya membacakan kepadanya apa sebenarnya yang terdapat dalam SMS sehingga dia dapat ‘menyekat pembayaran’. Ingat, dia telah mempersiapkan saya lebih awal untuk perbualan ini. Semua ini berlaku begitu pantas sehingga tidak ada masa untuk berfikir. Saya seperti seekor ikan yang terkena umpan dan ditarik dengan pantas. Tetapi saya berusaha untuk kekal tenang.

“Dan saya tidak akan melakukan kesalahan keenam saya.

“Saya bertanya kepadanya berulang kali adakah dia sebenarnya dari Bank Negara, yang dijawabnya dengan tegas. Saya memberitahunya bahawa saya akan meminta bank saya mengendalikan perkara itu mulai sekarang dan terus memutuskan talian.

“Saya kemudian segera memaklumkan bank saya supaya menyekat kemudahan transaksi dalam talian akaun saya,” katanya.

Albert berkata beliau tidak melaporkan perkara itu kepada polis kerana tidak berlaku kehilangan wang dan lebih-lebih lagi, polis sangat sibuk dengan kes penipuan seperti itu.

“Bagaimanapun, saya ingin berkongsi pengalaman saya agar orang lain mengetahui satu cara bagaimana penipuan dijalankan dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya ada terbaca bahawa berkongsi pengalaman penipuan anda dengan ahli keluarga dan rakan adalah antara cara terbaik mengelaknya kerana penipu bergantung kepada orang yang berahsia. Siapa sahaja yang anda ceritakan pengalaman anda akan lebih bersedia untuk mengelak penipuan serupa di masa depan,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker