Kongsi pengalaman diperdaya scam untuk elak trauma melampau

01/01/2021 08:27 AM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Menanggung kerugian ribuan ringgit selepas menjadi mangsa aktiviti penipuan atau scam bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi apatah lagi di saat rakyat dibelenggu masalah kewangan kesan penularan COVID-19.

Insiden penipuan didalangi individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan, pihak berkuasa mahupun kekasih hati itu sebenarnya mendatangkan kesan trauma dan gangguan psikologi kepada mangsa yang terpedaya.

Dr Firdaus Abdul Ghani, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, berkata individu yang mempunyai tingkah laku impulsif dan berani mengambil risiko sering menjadi mangsa penipuan sedemikian.

Jelasnya mereka yang impulsif ini bersifat tergesa-gesa untuk mengikut dorongan hati dan mempunyai kurang daya kawalan diri menyebabkan mereka tidak berfikir panjang sebelum membuat sesuatu keputusan, selain mudah mempercayai orang lain sekali gus terjerumus dalam penipuan itu.

“Namun semua orang sebenarnya boleh menjadi mangsa scam jika tidak mengambil langkah berhati-hati kerana sehingga kini tiada profil tertentu yang menunjukkan kecenderungan untuk menjadi mangsa scam.

“Bagaimanapun, terdapat kajian di beberapa negara menunjukkan golongan muda sering menjadi mangsa scam melibatkan penipuan dalam talian serta media sosial, wanita pula melibatkan hubungan cinta, pencarian jodoh manakala golongan berusia sering dikaitkan dengan scam yang dijalankan secara panggilan telefon,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan mengenai trauma yang dihadapi mangsa, Dr Firdaus berkata individu yang terpedaya berkemungkinan besar mengalami gangguan psikologi seperti sukar tidur, kurang selera makan, tekanan, kebimbangan yang ketara serta mengalami gejala kemurungan.

Terdapat juga mangsa yang mengalami gejala panik dan sukar mempercayai orang lain, kurang aktif di laman sosial serta cenderung menyalahkan diri sendiri akibat tingkah laku dan pengalaman pahit yang dilalui.

Bagi mengurangkan trauma yang dialami, mangsa digalakkan untuk bercerita mengenai perasaan mereka serta kejadian yang berlaku kepada keluarga mahupun rakan terdekat untuk mengelakkan perasaan sunyi dan tertekan kerana sokongan emosi serta mental amat penting pada waktu itu.

“Individu yang berdepan situasai ini perlu mengurangkan pendedahan terhadap media seperti televisyen dan surat khabar sekiranya ia mendatangkan kebimbangan yang ketara dan disaran mengamalkan teknik relaksasi (teknik pernafasan, relaksasi otot, meditasi) serta jalankan ibadah untuk mendapatkan ketenangan jiwa,” katanya.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM,) Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din pula berpendapat sekiranya mangsa mempunyai gejala gangguan psikologi yang ketara, rawatan pakar kaunseling dan psikoterapi boleh dicadangkan.

Ia bertujuan memberi sokongan emosi dan membina semula semangat kerohanian bagi mengubah semula pemikiran dan tingkah laku mangsa yang mengalami kebimbangan melampau kepada celik akal.

“Sekiranya mangsa mengalami trauma tahap sangat tinggi yang membawa implikasi kesihatan mental yang terganggu akibat melayan resah gelisah yang melampau dan berpanjangan, mereka perlu dinilai oleh pakar psikiatri dengan ubat-ubatan khas boleh diberi untuk mententeramkan diri dan membantu membentuk pemikiran baharu,” katanya.

Bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan ini, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berfikiran sedar ketika dihubungi pihak tertentu, mengawal kelemahan diri sekiranya mudah dipujuk dan mengesan taktik yang digunakan scammer melalui pembacaan emosi.

Beliau turut menasihatkan individu tidak berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di laman sosial seperti nama penuh dan nombor telefon, memastikan sebarang transaksi yang dibuat secara dalam talian tiada unsur meragukan dan mengehadkan jumlah pengeluaran bagi mengurangkan risiko kerugian.

“Jadikan satu habit untuk menyelidik latar belakang orang yang tidak dikenali terlebih dahulu dan mendapatkan nasihat daripada rakan dan keluarga sebelum membuat sesuatu pelaburan atau menjalinkan hubungan dengan orang yang tidak dikenali,” katanya.

Ejen insurans dakwa diperdaya syarikat pelaburan tidak wujud

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker