Sultan Selangor, Tengku Permaisuri sampaikan ucapan Tahun Baharu 2021


Kredit: Selangor Royal Office

01/01/2021 12:19 AM

SHAH ALAM, 31 Dis — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada rakyat Malaysia khusus mereka di negeri Selangor.

Menurut hantaran di Instagram @selangorroyalofficial hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah mengharapkan agar tahun 2021 akan membawa lebih banyak kecemerlangan dan kejayaan kepada sekalian rakyat dalam segenap aspek.

“Semoga tahun 2021 menjadi tahun yang lebih baik buat semua rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia,” titah baginda.

Baginda turut menitahkan semua pemimpin tidak mengira fahaman politik, untuk sama-sama menggembleng tenaga dan fokus kepada usaha demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

“Jangan asyik bertelagah dan pentingkan diri sendiri,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah jika ekonomi sesebuah negara berkembang dan makmur, maka ekonomi dan pendapatan rakyat akan turut meningkat dan kukuh.

Di samping itu, baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin juga sentiasa mendoakan agar wabak COVID-19 yang masih berleluasa ini dapat dihapuskan dengan segera agar rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *