UTeM jalin kerjasama dengan UMP

(Dr. Massila Kamalrudin (kanan) menerima cenderamata penghargaan daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Yuserrie Zainuddin (kiri) ketika kunjungan hormat UTeM ke UMP di Pekan, Pahang, baru-baru ini)

Oleh Rohana Man

PEKAN – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuhkan hubungan strategik dengan rakan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi kunjungan hormat Naib Canselornya, Profesor Dr. Massila Kamalrudin ke kampus universiti itu di sini, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, Dr. Massila telah menemui rakan sejawatnya, Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin.



Hasil daripada pertemuan itu, Dr. Massila memaklumkan bahawa UTeM dan UMP bersetuju untuk melebarkan perkongsian kepakaran dalam aspek penyelidikan dan inovasi menerusi projek usaha sama dengan mengoptimumkan kepakaran teknikal dalam bidang fokus masing-masing.

Menurutnya, kerjasama dalam penyelidikan itu akan melibatkan pengusulan pembiayaan geran sepadan bagi memartabatkan penyelidikan berprestasi tinggi antara kedua-dua universiti terbabit.

Beliau berkata, gandingan erat itu mampu memperhebatkan lagi nilai akademik dan penyelidikan dalam bidang tujahan berkait teknologi pembuatan termaju dan kejuruteraan, sekali gus mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Dr. Massila juga berkata, kerjasama itu sejajar dengan kepakaran pengajian teknikal dan amalan pengurusan akademik terbaik kedua-dua universiti berkenaan.



“UTeM dan UMP turut berbincang mengenai kerjasama program perkongsian akademik melibatkan gabungan beberapa fakulti kejuruteraan dari universiti masing-masing,” katanya.

Dalam kunjungan hormat itu juga, delegasi UTeM dibawa melawat Rimba Lestari yang merupakan kawasan penanaman pokok seluas 5.6 ekar, hasil kerjasama UMP dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Kawasan tersebut menempatkan pelbagai spesies pokok unik termasuk pokok yang menjadi tumpuan lebah kelulut bagi membuat sarang.

Pada program lawatan itu, Dr. Massila diberi penghargaan oleh pihak UMP untuk menanam pokok jenis Shorea Roxburghii di Rimba Lestari.

Mengulas lanjut, katanya, kerjasama yang dijalin itu akan memaksimumkan kecekapan proses pengajaran dan pembelajaran, selain dapat memastikan graduan kedua-dua universiti terus berpotensi, kekal relevan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi.

Selain itu, katanya, kedua-dua pihak turut merangka kolaborasi berhubung praktis dan pengurusan landskap kampus berteraskan Kampus Lestari.

“Teras ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Sustainable Development Goals (SDGs) yang mahu dicapai menjelang 2030,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker