KKM jangka trend kes positif COVID-19 terus meningkat


Datuk Seri Dr Adham Baba yang juga Menteri Kesihatan ketika hadir pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenggara 2020 di Balai Aktiviti Komuniti Zon 2, Taman Anggerik, Bandar Tenggara hari ini.

02/01/2021 06:01 PM

KOTA TINGGI, 2 Jan — Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka kes positif COVID-19 mengalami trend peningkatan berikutan lebih banyak aktiviti pengesanan akan dilakukan selepas kerajaan mewajibkan semua pekerja asing di tapak pembinaan dan industri menjalani ujian saringan bermula semalam.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ujian saringan pekerja asing membabitkan 800,000 orang meliputi Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah.



Sebelum ini seramai 70,000 pekerja asing telah disaring dari Ogos hingga 31 Dis lepas.

“Sekiranya didapati positif COVID-19, KKM akan terus mengasingkan mereka secepat mungkin dan memberikan rawatan selain mempercepatkan pengesanan kontak rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenggara di sini, hari ini ketika diminta mengulas mengenai kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Dr Adham berkata kos ujian saringan menggunakan kaedah kit ujian pantas antigen (RTK Antigen) akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala majikan perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan klinik atau hospital.



“Sekiranya ujian dilaksanakan sendiri oleh pekerja, maka majikan perlu menanggung kos ujian itu.

“Bagi yang tidak mempunyai majikan kena pastikan mereka berdaftar atau tidak… ini adalah tugas pihak penguatkuasaan imigresen untuk memasukkan mereka di pusat tahanan dan saringan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persediaan KKM menghadapi trend peningkatan itu, Dr Adham berkata kementerian sedang melakukan persediaan dan menjangka menambah sehingga 10,000 buah katil di pusat kuarantin dan rawatan sementara Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang ( MAEPS).



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button