Protes di Iran bertambah buruk, jumlah kematian meningkat

DUBAI: Pihak berkuasa Iran dan kumpulan hak asasi Kurdish melaporkan lapan kes kematian termasuk seorang masing-masing anggota polis dan militia pro-kerajaan selepas bertempur dengan penunjuk perasaan yang merusuh susulan kematian seorang wanita dalam tahanan atas kesalahan tidak memakai hijab dengan sempurna yang memasuki hari kelima sejak Sabtu lalu.

Protes itu tercetus akibat kemarahan orang ramai terhadap insiden kematian seorang wanita yang ditahan polis moral di negara berkenaan, yang turut menyebabkan beberapa sekatan baharu di media sosial dilaksanakan.

Media Iran dan seorang pendakwa raya memaklumkan, empat individu lagi terbunuh dalam tempoh dua hari lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada lapan kematian, termasuk seorang anggota polis dan seorang anggota militia prokerajaan.

Demonstrasi itu dibuat selepas kematian remaja Kurdistan Iran berusia 22 tahun, Mahsa Amini, yang ditahan oleh polis unit moral di Tehran kerana tidak memakai hijab dengan sempurna.

Protes yang awalnya tertumpu di kawasan majoriti Kurdish di Iran sebelum tersebar ke sekurang-kurangnya 50 bandar dan pekan seluruh negara itu, adalah yang terbesar sejak gelombang demonstrasi membantah lonjakan harga petrol pada 2019.

Kumpulan hal asasi Kurdish, Hengaw, pula mendakwa sejak tunjuk perasaan itu diadakan Sabtu lalu seramai 10 penunjuk perasaan maut dengan tiga daripadanya semalam, termasuk dikatakan dibunuh oleh pasukan keselamatan.

Pihak berkuasa bagaimanapun menafikan pasukan keselamatan membunuh penunjuk perasaan, sebaliknya memberi gambaran bahawa mereka mungkin ditembak penunjuk perasaan bersenjata.

Pada masa sama, Hengaw, penduduk Iran dan kumpulan pemerhati sekatan internet, NetBlocks, memaklumkan pihak berkuasa Iran turut mengenakan sekatan internet, selepas tiada tanda protes itu akan berkurangan.

Aktivis menyatakan kebimbangan bahawa sekatan internet itu mengulangi tindakan keras kerajaan terhadap penunjuk perasaan pada 2019, yang ketika itu merekodkan kematian sekitar 1,500 individu.

NetBlocks dan penduduk Iran berkata, akses terhadap Instagram, satu-satunya platform media sosial utama yang kebiasaannya dibenarkan oleh Iran dan memiliki jutaan pengguna disekat begitu juga beberapa jaringan talian telefon bimbit.

“Iran kini melaksanakan sekatan internet paling teruk sejak pembunuhan besar-besaran pada November 2019,” kata NetBlocks.

Pengguna WhatsApp pula mendakwa hanya dapat menghantar mesej bertulis, manakala hantaran bergambar disekat, manakala Hengaw memaklumkan akses internet disekat di Kurdistan, sekali gus menghalang perkongsian video.

Platform Meta yang memiliki Instagram dan WhatsApp, tidak memberi maklum balas segera ketika diminta mengulas dakwaan berkenaan.

Kematian Amini mencetus kemarahan awam terhadap pelbagai isu, termasuk kebebasan di Iran serta isu ekonomi yang berlaku akibat sekatan.

Golongan wanita memainkan peranan utama dalam protes itu dengan melambai dan membakar tudung, selain ada yang memotong rambut di hadapan orang ramai.

Amini berada dalam keadaan koma ketika ditahan oleh polis moral Iran, yang mengenakan peraturan ketat dengan mewajibkan wanita menutup rambut dan memakai pakaian longgar di kawasan awam.

Bapanya memaklumkan, Amini tidak memiliki sebarang masalah kesihatan dan memiliki kesan lebam di kakinya selepas ditahan, dan mendakwa polis bertanggungjawab atas kematian Amini. Polis menafikan ada mencederakan gadis itu.

Pegawai kanan kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Amini minggu ini, dan berjanji akan membuat susulan berhubung kes itu dan memaklumkan Khamenei terkesan dengan kematian Amini.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker