Thailand peroleh tambahan 2 juta dos vaksin COVID-19

01/01/2021 02:08 AM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 31 Dis — Thailand memperoleh tambahan sekurang-kurangnya dua juta dos vaksin COVID-19 yang akan dihantar antara Februari dan April ini, kata Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.

Anutin yang juga Menteri Kesihatan Awam berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Rabu telah mengarahkannya supaya berbincang mengenai pemerolehan tambahan vaksin COVID-19 dengan pengeluar.



Bulan lepas, Thailand menandatangani perjanjian dengan firma farmaseutikal multinasional Britain-Sweden, AstraZeneca Plc untuk mendapatkan 26 juta dos vaksin COVID-19 untuk imunisasi 13 juta orang sebelum Mei.

“Selepas rundingan, dijangkakan sekurang-kurangnya dua juta lagi dos vaksin COVID-19. Saya telah memaklumkan perdana menteri (Prayuth) dan beliau menyokong pemerolehan tersebut,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya hari ini.

Namun Anutin yang kini menjalani kuarantin di rumah setelah bertemu gabenor Samut Sakhon yang disahkan positif COVID-19 pada 28 Dis, tidak menyatakan negara pengeluar bagi vaksin tambahan itu.

Anutin berkata Prayuth juga mengarahkan agensi berkaitan agar mempercepatkan proses memperoleh vaksin untuk kumpulan berisiko.



Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri pula berkata Prayuth berharap sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk akan diberi vaksin pada 2021.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 194 kes COVID-19 termasuk 181 jangkitan tempatan manakala 13 kes import.

Pada sidang media mengenai perkembangan pandemik itu di negara berkenaan, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata sehingga kini virus itu telah menular ke 51 daripada 77 wilayah Thailand.

Daripada 194 kes terkini COVID-19 itu, 128 kes dengan 77 di wilayah Rayong, 20 di Samut Sakhon, Chonburi (16), Samut Prakan (enam), Chanthaburi (lima), Trat (tiga) dan Chachoengsao (satu) dalam siasatan sumber jangkitan, katanya.

Thaweesilp menggesa orang ramai supaya tinggal di rumah untuk menyambut Tahun Baharu.

“Tiada sekatan perjalanan antara wilayah tetapi yang terbaik adalah tinggal di rumah untuk mengira detik ketibaan tahun baharu daripada mengira kes COVID-19,” katanya.

Setakat ini Thailand merekodkan 6,854 kes dengan 61 kematian.

— BERNAMA

Indonesia terima 1.2 juta dos vaksin COVID-19 dari China

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker