Barang keperluan sekolah hanyut, ibu bimbang keperluan lima anak

02/01/2021 09:34 PM

Oleh Nurul Izzatul Hani Seman

JOHOR BAHRU, 2 Jan — Walaupun telah bersedia awal untuk sesi persekolahan lima anaknya yang bakal bermula 20 Jan ini, seorang ibu muda sedih apabila kesemua barangan persekolahan anak-anaknya hanyut dibawa banjir apabila rumah mereka ditenggelami air di Kampung Laut, dekat Skudai, sejak semalam.

Diana Zafini Mohamad Faruddin, 30, mempunyai empat anak di sekolah rendah berusia lapan, sembilan, 11 serta 12 tahun manakala seorang lagi di tingkatan tiga.

Selain itu, dia juga mempunyai dua anak kecil berusia empat tahun dan lima bulan.

“Saya memang sedih sangat… habis semua keperluan sekolah anak macam kasut sekolah, baju-baju sekolah yang lepas semua kena banjir.

“Saya kesiankan anak-anak… sebab itu sahaja barangan keperluan yang ada, kalau nak beli baharu memang tak mampu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, yang menjadi pusat pemindahan sementara penduduk dari kampung berkenaan, di sini, petang tadi.

Tambahan pula suaminya, Sufian Sabnon, 33, yang bekerja sebagai kerani penyelia tapak pembinaan kurang mendapat kerja kerana pandemik, kata Diana yang merupakan suri rumah tangga sepenuh masa.

Bagaimanapun, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri dan agensi terlibat kerana diberikan tempat perlindungan sementara yang selesa dan selamat untuk anak-anaknya terutama anak bongsunya yang berusia lima bulan.

Turut bersama Diana di pusat perlindungan tersebut adalah ibu mertuanya, Marmiah Tompok, yang tidak mampu berjalan dan bergerak menggunakan kerusi roda.

Warga emas berusia 63 tahun itu menyifatkan banjir kali ini yang paling teruk dialami dirinya dan keluarga.

“Makcik sedih sangat, bulan ini sahaja dah berapa kali banjir… habis semua barang rumah. Dapur, televisyen, bantal semua tak boleh diselamatkan,” katanya.

Kampung Laut adalah antara kawasan yang terjejas teruk banjir di bandar raya ini dengan paras air meningkat sehingga menenggelamkan keseluruhan rumah di kawasan berkenaan.

Setakat 8 malam tadi, banjir di Johor melibatkan lima daerah dengan mangsa kini seramai 1,780 orang.

Leave a Reply